PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail
Sultan Ibrahim semalam melahirkan rasa dukacitanya terhadap persembahan
yang ditampilkan Johor Darul Takzim (DT) ketika tewas 0-2 kepada
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super kelmarin.
Bagaimanapun Tunku Ismail bertitah, baginda akan bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan tersebut dan akan menjalankan post-mortem secara menyeluruh.
"Saya tidak menyalahkan jurulatih ataupun pihak pengurusan pasukan
kerana saya sendiri ada bersama pasukan pada setiap sesi latihan dan
menyaksikan sendiri segala usaha yang dilakukan.
"Pelbagai kemudahan latihan juga telah disediakan bagi manfaat pemain
termasuk sesi video taktikal selain perbincangan bersama jurulatih
tetapi pada akhirnya, yang membuat keputusan untuk menang atau kalah
adalah 11 orang yang beraksi di atas padang," katanya dalam kenyataan
kepada media di Johor Bahru semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,
Negeri Sembilan itu, skuad Harimau Selatan gagal menyaingi kehebatan ATM
dan mereka turut tewas 0-3 kepada Perak Stadium TLDM, Lumut, pada 27
April lalu.
Johor DT kini berada di tangga keempat Liga Super selepas mengutip 15 mata.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail bertitah, berdasarkan pemerhatiannya,
terdapat dalam kalangan pemain yang tidak mempunyai hati dan semangat
untuk berjuang demi pasukan selain meletakkan diri sendiri sebelum
pasukan.
"Saya mengakui berasa kesal membeli beberapa pemain yang tidak
menunjukkan kesungguhan dan akan mengambil tindakan yang sepatutnya pada
bulan Disember nanti.
"Buat masa ini, usaha merebut kejuaraan akan diteruskan dengan pasukan dan kekuatan yang sedia ada," titah baginda.
Bertitik tolak daripada itu, Tunku Mahkota Johor itu bertitah, pada
masa akan datang, hanya pemain yang benar-benar komited dan berazam
tinggi menjulang kejuaraan akan diambil untuk beraksi bersama Johor DT.
"Ia termasuk juga mencari pemain import yang lebih berkualiti.
Tumpuan akan diberikan kepada jentera pertahanan dan bahagian tengah,"
titah baginda lagi.
Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Johor atas semangat yang ditunjukkan selama ini.
"Sebagai penyokong Johor, anda berhak mengetahui perkembangan dan
permasalahan dalam pasukan dan saya akan memastikan PBNJ melakukan
segala usaha bagi memperbaiki sebarang kelemahan," titahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan