KEHADIRAN jejaka ini di dalam persada seni pada suatu ketika dulu
telah memberi fenomena baharu dalam dunia hiburan apabila namanya yang
sebelum ini tidak pernah diketahui secara tiba-tiba melonjak naik.
Semuanya bermula apabila Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani
menyertai rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia musim ketiga
pada tahun 2005 dan seterusnya memenangi gelaran juara.
Sejak itu Mawi mula mendapat perhatian ramai. Namun, oleh kerana dia
masih mentah dalam bidang seni ketika itu, ramai yang berpendapat Mawi
tidak tahu bergaul dan seperti tidak serius untuk berada dalam bidang
yang penuh mencabar itu.
Berbeza kini, setelah hampir 10 tahun berada dalam dunia seni, Mawi
sudah matang dalam setiap jawapan yang diberikan dan sentiasa
berhati-hati ketika melemparkan tutur kata.
Perubahan positif ayah kepada seorang puteri, Cahaya Malaika ini
boleh dilihat apabila setiap kali diajukan soalan, Mawi akan menjawab
dengan berhemah sekali.
Menurut Mawi, pengalaman banyak mengajarnya untuk sentiasa belajar
menjadi manusia yang lebih baik lebih-lebih lagi apabila dia kini sudah
mula menjinakkan diri dalam dunia perniagaan.
“Saya akui kini saya lebih pandai menjawab soalan dan pertanyaan
orang ramai kerana setelah beberapa tahun berada dalam bidang seni,
banyak benda yang saya pelajari.
“Lebih-lebih lagi kini saya sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan
yang memerlukan saya bertemu dengan ramai rakan korporat,” ujarnya
ketika ditemui pada majlis pelancaran produk UniQuein di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Mawi, kekuatan dan perubahan positifnya itu banyak didorong
oleh isterinya, Ekin yang turut sama membantu dan memberi kata-kata
semangat dalam setiap apa yang dilakukannya.
“Ekin selalu berada di belakang saya dan saya bersyukur kerana
memiliki isteri yang tidak pernah berputus asa dalam memberi segala
pertolongan atau bantuan ketika saya senang mahupun susah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mawi sedang aktif menjalankan perniagaan
produk kesihatan dan kecantikan UniQuein bersama isteri dan adik
iparnya, Aein.
Katanya, pada tahun ini dia ingin memberi fokus kepada perniagaannya
yang semakin berkembang positif, namun itu tidak bermakna dia melupakan
bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya.
“Saya fikirkan juga tentang perkara itu (menyanyi), bukanlah kata
saya nak tinggalkan terus bidang nyanyian. Cuma buat masa sekarang saya
juga berjinak dengan bidang produksi, penulisan skrip dan pengarahan.
Semuanya dalam proses untuk saya belajar,” ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai album, Mawi masih belum mengeluarkan
album baharu, tetapi terdapat beberapa single akan dikeluarkan dalam
waktu terdekat ini, antaranya Termolek ciptaan M. Nasir dan lirik oleh
Ad Samad.
Selepas Termolek, lagu Kau Adalah Aku ciptaan M. Nasir pula dijangka
akan menyusul dan kedua-dua lagu itu dijangka diterbitkan pada tahun ini
juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan