BEBERAPA lagi pemain berpotensi dijangka mengikut jejak langkah
penyerang muda Sarawak, Junior Eldstal ‘berguru’ bersama Harimau Muda di
Slovakia pada masa terdekat.
Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata pihaknya telah mengenal
pasti beberapa pemain daripada pasukan Liga Super dan Liga Premier
untuk menjalani latihan bersama skuad muda negara selepas ini.
“Beberapa lagi pemain akan dipanggil mengikuti latihan sebagai
persiapan menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013
di Kazan, Rusia Julai depan,” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya
kelmarin.
Bagaimanapun, Kim Swee tidak mendedahkan nama beberapa pemain berkenaan.
Semalam, Kosmo! melaporkan kenyataan jurulatih Sarawak, Robert
Alberts yang mengesahkan Junior, 21, yang juga pemain kacukan
Malaysia-Sweden akan menjalani latihan bersama Harimau Muda di Slovakia
bermula Julai depan.
Untuk rekod, Harimau Muda masih gagal memburu kemenangan sulung sepanjang berguru di Eropah kali ini.
Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda
negara sepanjang berguru selama lima bulan di Eropah sebagai persiapan
awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar
penghujung tahun ini.
Selain tumpas 0-3 dan 0-4 kepada dua kelab Hungary, Kaposvari FC dan
FGSZ Siofok, mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan
dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh
skuad Bawah 21 tahun (B-21) Georgia.
Terbaharu, skuad muda negara juga tumpas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Slovakia, Nitra FC baru-baru ini.
Selain itu, taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar
melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat
tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway sebelum ini.
Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau
Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Universiade 2013 di
Kazan dari 6 hingga 17 Julai depan dan hanya kembali ke tanah air
sebelum Aidilfitri.
Ketika ini, anak-anak buah Kim Swee hanya menjalani latihan intensif
selama dua minggu di Slovakia sebelum bertolak ke Republik Czech bagi
mengharungi beberapa lagi aksi persahabatan di sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan