Ahad, 5 Mei 2013

Wawa Zainal cinta Aeril Zafrel?


SEMUANYA masih menjadi tanda tanya. Tanpa diketahui puncanya, Wawa Zainal yang kini semakin menjadi sebutan peminat seni tempatan terpaksa melalui waktu-waktu sukar dan menanggung kesakitan gara-gara penyakit misteri.

Tidak pernah menyakiti hati mahupun memusuhi sesiapa, Wawa dikhabarkan terkena penyakit misteri apabila dirinya dirasuk ‘sesuatu’ sehingga mengeluarkan suara lain beberapa bulan lepas. 

Paling ketara, fizikal anak kelahiran Sabah berusia 22 tahun itu berubah mendadak apabila mengalami penurunan berat badan drastik - dari 48 kilogram sebelumnya kepada 43 kilogram pada waktu ini. 

Bercerita mengenai hal tersebut, Wawa memberitahu bahawa perkara itu berlaku kepada keluarganya terlebih dahulu sebelum merasuk kepada dirinya.

“Perkara ini pertama kali berlaku pada kakak saya. Benda itu singgah sekejap saja dalam badan saya. Apabila benda itu masuk dalam badan, saya bercakap atau berinteraksi menggunakan suara orang lain.
“Saya sendiri tak tahu apa benda yang masuk dalam badan saya. Adik beradik yang lain pun kena tapi sekejap-sekejap sahaja.

“Cuma yang kasihan adalah kakak saya yang sulung kerana terpaksa menderita lama kerana dia yang paling lama mengalami penyakit ini," jelasnya.

Wawa juga menjelaskan bahawa tubuhnya tetap kurus biarpun seleranya tidak berubah.
“Sebenarnya saya makan banyak tetapi tubuh saya tetap juga kurus. Alhamdulillah, ketika ini saya semakin sihat biarpun tidak sepenuhnya selepas mendapat rawatan daripada seorang ustaz.

“Malah selepas selesai sahaja kerja-kerja saya dalam bidang lakonan tidak lama lagi, saya berhajat untuk pulang dan berehat di kampung dalam satu tempoh.

“Selain itu saya juga mahu melihat bagaimana keadaan kakak saya yang masih lagi belum pulih daripada penyakit misteri ini," ujar Wawa.

Tambah Wawa lagi, sehingga kini punca dan bagaimana penyakit misteri ini berlaku kepada diri dan adik beradiknya masih lagi belum diketahui namun jelasnya, ramai yang menyatakan perkara ini berlaku akibat daripada keturunan.

“Saya harap perkara ini tidak berlarutan, saya bimbang takut-takut berlaku kepada orang tua saya pula.
“Saya mahu masalah ini selesai dengan segera. Sebab itu selepas selesai tugas-tugas saya di Kuala Lumpur, saya mahu pulang untuk sambung berubat," tambahnya.

Bercinta dengan Aeril Zafrel? 

Semakin mendapat tempat dalam industri lakonan tempatan, Wawa juga tidak terlepas dengan gosip cinta. Sebelum ini namanya pernah digosipkan dengan aktor popular Shaheizy Sam.
Terkini khabarnya aktres muda itu dikatakan sedang rancak bercinta dengan Aeril Zafrel yang juga pasangannya dalam filem 99 Kali Cinta yang bakal ditayangkan Mei ini.
Namun gosip itu disangkal oleh Wawa malah dia menafikan sekeras-kerasnya tentang hubungan cinta yang dikaitkan itu.

“Mana ada saya bercinta dengan dia (Aeril), kami berdua cuma kawan biasa. Memang saya ada dengar tentang berita ini, ada yang kata saya dan dia memang tengah serius bercinta.
“Sebenarnya perkara ini tidak pernah berlaku. Kami memang rapat sekadar kawan, tidak lebih daripada itu," sangkal Wawa.

Malah dia juga menolak dakwaan mengenai cinta lokasi dengan Ariel biarpun mereka kerap berlakon bersama, tidak kira sama ada drama mahupun filem.
“Itu sekadar gosip semata-mata," ujarnya.

Namun dia mengakui menyenangi Ariel memandangkan ciri lelaki idaman terdapat pada aktor muda itu.
“Dia pandai melawak dan saya mengaku cukup senang berkawan dengan dia. Tambahan pula dia sekarang sudah mula berubah dan mendalami agama Islam.

“Itu memang perkara yang diidamkan oleh kebanyakan wanita," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan