PAHANG akan pastikan Terengganu terus dihimpit kekecewaan pada
pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu malam ini.
Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Che Nasir Salleh berkata, Pahang akan
terus memburu tiga mata pada pertemuan di Kuala Terengganu itu bagi
mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas skuad Penyu.
Tambah Che Nasir, ia juga bagi memastikan Pahang mampu mengubah kedudukan dalam carta liga musim ini.
“Kalau boleh, kita tidak akan memberi peluang kepada Terengganu malam
esok (malam ini). Matlamat kami hanya satu, iaitu untuk memburu tiga
mata penuh,” katanya ketika dihubungi di Kuantan semalam.
Untuk rekod, pada perlawanan pertama menentang Terengganu di Stadium
Darul Makmur, Kuantan pada 27 Januari lalu, Pahang yang dibimbing Dollah
Salleh menang 3-0 ke atas lawan mereka itu.
Che Nasir turut membayangkan Pahang bakal beraksi tanpa khidmat dua
pemain import, Matias Conti dan Delano Damion Stewart malam ini.
“Walaupun tiada pemain import, para pemain tempatan telah menunjukkan aksi yang cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Kalau malam esok (malam ini) tiada pemain import yang diturunkan,
mereka (pemain tempatan) tetap berupaya menggalas tugas dengan baik.
“Kita ada ramai pemain tempatan yang bagus-bagus. Rasanya tidak ada
masalah kalau bermain tanpa pemain import pada aksi menentang
Terengganu,” katanya.
Che Nasir menambah, para pemain sewajarnya berwaspada terhadap
keupayaan Terengganu kerana pasukan itu mungkin tampil dengan taktik
serangan yang lebih berbisa berbanding pertemuan sebelum ini.
Ujar beliau, para pemain wajar waspada dalam setiap gerakan kerana
Terengganu mungkin akan mengambil peluang daripada kesilapan-kesilapan
yang dilakukan oleh pemain Pahang.
“Para pemain sudah diingatkan supaya tidak membuat sebarang kesilapan dalam perlawanan itu nanti.
“Kesilapan, walaupun kecil akan tetap memberi risiko yang besar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan