Isnin, 13 Mei 2013

Vilanova anggap musim cemerlang



PEMAIN-pemain Barcelona, (dari kiri) Pique, Busquets, Fabregas, Alba dan Marc Bartra meraikan kejayaan menjuarai Liga Sepanyol selepas aksi dengan Atletico Madrid semalam.


MADRID - Tito Vilanova menganggap musim pertama beliau sebagai jurulatih Barcelona berakhir dengan kejayaan selepas berjaya membantu kelab itu mendakap trofi Liga Sepanyol buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.

The Catalan yang mengatasi Atletico Madrid 2-1 awal pagi semalam sudah pun dinobatkan sebagai juara liga sebelum perlawanan itu selepas pencabar terdekat, Real Madrid sekadar terikat 1-1 dengan Espanyol kelmarin.

Biarpun dikecewakan dengan kekalahan agregat 0-7 di tangan Bayern Munich pada separuh akhir kempen Liga Juara-Juara, Vilanova menegaskan, skuad kendaliannya sekadar tidak bernasib baik di pentas Eropah.

"Ia musim yang cukup bagus biarpun terkilan apabila gagal mara ke pentas final Liga Juara-Juara.

"Cabaran musim depan pastinya lebih mencabar tetapi kami akan lebih bersedia untuk menebus kegagalan musim ini.

"Bagi saya, kami hanya kurang bernasib baik dalam kempen Liga Juara-Juara apabila pengadil tidak menyebelahi kami," kata Vilanova.
Vilanova sebelum ini terlepas daripada mengendalikan Barcelona selama tiga bulan ekoran menjalani pembedahan pembuangan tumor tekak di New York, Amerika Syarikat.

Justeru, beliau berharap mampu mengendalikan pasukannya sepenuh masa musim depan.

"Saya harap dapat bersama pemain lebih daripada sepatutnya musim depan. Namun, kesungguhan mereka kekal bermotivasi biarpun dengan ketiadaan saya sememangnya dihargai.

"Kami pasukan yang terbaik dalam Liga Sepanyol dan tiada siapa yang meragui perkara itu," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan