|
WALAUPUN kempunan untuk merasai nikmat beraksi di halaman sendiri
namun, kesebelasan pemain pasukan Pahang tetap berada dalam motivasi
terbaik untuk mengharungi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA
menentang pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional
Bukit Jalil malam ini.
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, semua pemainnya kini sudah
bersedia untuk mencipta kejutan dalam aksi separuh akhir kedua itu nanti
walaupun mereka ketinggalan dengan satu gol.
“Kalau dilihat persediaan, kali ini saya rasa kami lebih bersedia
berbanding perlawanan separuh akhir pertama di Johor Bahru minggu lalu,
dan pemain juga bebas daripada kecederaan kecuali Faizol (Mohd. Faizol
Hussin) yang mengalami kecederaan.
“Saya juga tidak banyak membuat perubahan dalam kesebelasan utama,
dan lebih menggembirakan saya adalah semua pemain dilihat berada pada
tahap terbaik untuk diturunkan pada perlawanan separuh akhir itu nanti,”
kata Dollah kepada Kosmo! semalam.
Perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin Sabtu lalu menyaksikan Johor DT mendapat sedikit kelebihan
apabila penyerang, Leonel Nunez telah menjaringkan gol tunggal
perlawanan untuk memberikan mereka kelebihan satu gol ke Bukit Jalil
malam ini.
Dalam pada itu, Dollah juga sedar tugasan berat menanti anak-anak
buahnya dalam perlawanan itu nanti terutama benteng pertahanan kerana
pemain-pemain seperti Nor Shahrul Idlan Talaha, Mohd. Nurul Azwan Roya,
Leonel Nunez dan Mohd. Safee Sali perlu ‘dirantai’ dengan rapi.
Dollah berkata, dia juga berpuas hati dengan kualiti padang di
Stadium Nasional Bukit Jalil dan berharap pemain-pemainnya mampu
menyesuaikan diri serta dapat menyerap tekanan dengan menghasilkan
jaringan, seterusnya memastikan mereka layak ke perlawanan akhir untuk
bertemu Kelantan pada 29 Jun depan.
Katanya, ketinggalan dengan satu gol bukanlah satu tekanan besar
kepada mereka tetapi dia akan memastikan pemain-pemainnya akan
menyempurnakan setiap gerakan yang dilakukan serta tidak terikut-ikut
dengan rentak lawan.
Selain itu, Dollah turut menyeru penyokong-penyokong Pahang yang
hadir nanti agar memberikan sokongan padu kepada pasukan Tok Gajah itu
tetapi mereka mesti menjaga disiplin serta hadir ke stadium dengan penuh
semangat kesukanan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, perlawanan separuh akhir kedua Piala
FA antara Pahang dan Johor DT yang dijadual berlangsung di Stadium Darul
Makmur, Kuantan Selasa lalu terpaksa ditunda ekoran limpahan penonton
yang memasuki stadium yang hanya berkapasiti 40,000 penonton.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga kelmarin telah mengenakan
denda RM100,000 kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) akibat
kekecohan yang berlaku itu manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Johor
(PBNJ) turut didenda RM20,000 kerana pemain-pemainnya telah meninggalkan
padang lebih awal daripada masa 90 minit yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan