Jumaat, 3 Mei 2013

ATM ketepikan ancaman cuaca panas lawan T-Team


KUALA LUMPUR - Pemain-pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan sepenuhnya pengalaman mereka untuk memburu kemenangan pada aksi Liga Super menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini.

Jurulatih ATM, B. Sathianathan bagaimanapun mengakui, beraksi dalam cuaca panas mungkin akan mengganggu rentak permainan anak-anak buahnya, tambahan pula ketika ini T-Team bukan pasukan yang harus dipandang mudah.

Tambah Sathianathan, hanya pengalaman sahaja yang dapat membantu mereka untuk meraih tiga mata penuh dalam usaha memintas kedudukan pasukan tangga kedua Johor Darul Takzim.

"Kita masih belum dapat melupakan kekalahan 2-3 di Terengganu menentang tuan rumah yang ketika itu kami beraksi dalam cuaca panas pada sebelah petang, Februari lalu.

"Apa yang saya fikirkan kini adalah kita tidak boleh terlalu bergerak pantas bagi mengekalkan kecergasan kerana beraksi dalam cuaca panas memudahkan pemain keletihan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

ATM dijadual bermain di sebelah petang menentang T-Team di Kuala Terengganu, hari ini.

ATM kini berada di tangga ketiga dengan 24 mata, kurang empat mata daripada pendahulu liga, Lions XII.

Kali terakhir ATM menentang T-Team adalah pada Januari lalu yang ketika itu menyaksikan skuad tentera meraih kemenangan 3-2 di laman sendiri.

Sementara itu, Sathianathan berkata, jentera serangan bakal menjadi tumpuan utama ATM bagi memastikan mereka berupaya menembus gawang lawan.

"Kita tahu mereka (T-Team) mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri dan kita perlu berusaha memastikan pemain mampu mendapatkan jaringan dalam aksi di sebelah petang meskipun sedikit sukar buat kami.

"Harapan saya di bahagian serangan ialah pada penyerang Hairuddin Omar serta Marlon Alex James yang biasa digandingkan bersama," kata Sathianathan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan