LONDON - Hasrat Manchester United untuk
mendapatkan bintang tengah Sepanyol, Ander Herrera berakhir dengan satu
sandiwara semalam, dan menyebabkan juara Liga Perdana Inggeris itu
menjadi bahan lawak bola sepak dunia.
United pada mulanya berminat untuk membeli Herrera selepas bersetuju
memenuhi tuntutan 36 juta euro (RM155.88 juta) yang terdapat dalam
klausa pelepasan pemain berusia 24 tahun itu daripada kontraknya di
Athletic Bilbao.
Bagaimanapun perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila
sekumpulan lelaki yang menjalankan urusniaga dengan Bilbao akhirnya
didapati bukan pegawai rasmi dari Old Trafford, sebaliknya hanya
penyamar.
Kekecohan diakhiri dengan United akhirnya membeli bintang tengah
Everton, Marouane Fellaini menerusi bayaran 27.5 juta pound (RM140.77
juta), selain mendapatkan bek kiri Real Madrid, Fabio Coentrao menerusi
pinjaman jangka panjang.
Media Sepanyol melaporkan, Bilbao hanya menyedari bahawa sekumpulan
lelaki yang terlibat dalam urusniaga Herrera sebenarnya bukan wakil
United apabila mereka gagal membuat bayaran deposit pemain itu.
Terdahulu, kumpulan lelaki berkenaan telah menghabiskan masa beberapa
jam di ibu pejabat pasukan di Madrid dan dibawa melawat stadium, selain
membincangkan mengenai butiran perpindahan beberapa jam sebelum pasaran
ditutup.
Bilbao juga telah memaklumkan kepada Herrera bahawa United akan
membayar deposit perpindahannya, dan pemain itu amat teruja dengan
berita dia bakal menyertai juara Liga Perdana tersebut, sebelum
sandiwara terbongkar apabila 'pegawai' berkenaan gagal membuat bayaran.
Akhbar Britain, Starsport melaporkan, Herrera malah
telah diminta untuk menjalani ujian kesihatan dan amat yakin dia berada
di ambang untuk melengkapkan perpindahan impian, namun segalanya
berkecai apabila United sebaliknya menandatangani Fellaini.
Herrera dikatakan kecewa dan berang dengan apa yang berlaku, dan menuntut penjelasan daripada United serta Bilbao.
Walaupun telah mengadakan beberapa rundingan sepanjang musim panas
ini untuk membawa Fellaini ke Old Trafford, United memilih sehingga tiga
jam terakhir sebelum perpindahan ditutup semalam bagi menandatangani
kontrak dengan bintang tengah Belgium itu.
Fellaini, yang mengemukakan permintaan kepada Everton untuk menyertai
United menandatangani kontrak bernilai 100,000 pound (RM509,000)
seminggu.
Bagaimanapun pembelian Fellaini tidak mampu meredakan kemarahan peminat Red Devils ekoran kegagalan pasukan itu melakukan pembelian lebih besar.
Difahamkan, United turut mengemukakan tawaran 40 juta pound (RM203.41
juta) kepada Real Madrid untuk bintang tengah Jerman, Sami Khedira
tetapi ditolak oleh gergasi bola sepak Sepanyol itu.
Akhirnya, mereka hanya mampu melihat seorang lagi bintang Real yang
juga rakan senegara Khedira, Mesut Ozil menjadi milik kelab London,
Arsenal.
United sebelum ini turut dikaitkan dengan Ozil, selain pemain
antarabangsa Perancis, Yohan Cabaye, malah usaha mereka untuk
mendapatkan Leighton Baines daripada Everton juga ditolak.
Pengendali baharu United, David Moyes juga gagal dalam percubaannya
mendapatkan dua pemain Barcelona, Cesc Fabregas dan Thiago Alcantara. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan