BIARPUN tewas 1-2 kepada Pahang namun ia sudah cukup buat Johor Darul
Takzim (Johor DT) untuk melangkah ke final Piala FA menerusi agregat
2-2 pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Skuad Harimau Selatan berjaya beraksi di perlawanan akhir berdasarkan
jaringan di tempat lawan dan bakal menentang juara bertahan, Kelantan
pada 29 Jun nanti.
Beraksi di babak pertama perlawanan, skuad Tok Gajah terlebih dulu
mengejutkan pasukan bimbingan Fandi Ahmad menerusi jaringan awal
penyerang import, Martias Conti pada minit pertama.
Jaringan tersebut hadir menerusi gerakan menarik dengan Mohd.
Azamuddin Akil dan Amirul Hadi Zainal yang bijak memberikan hantaran
kepada Conti sebelum menewaskan penjaga gawang Johor DT, Muhd. Al-Hafiz
Hamzah.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Harimau Selatan kembali mengatur
serangan namun benteng pertahanan yang diketuai tonggak import, Damion
Stewart cemerlang mengagalkan jentera serangan Johor DT.
Pahang memastikan kedudukan selesa apabila Conti sekali lagi menambah jaringan dengan meledak gol kedua pada minit ke-40.
Pemain kelahiran Argentina itu bijak mencuri peluang dengan
'menyambut' hasil tendangan lemah Amirul Hadi sebelum melepaskan
tendangan kencang dengan menewaskan Al-Hafiz untuk menjadikan kedudukan
2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Namun, pemain import Harimau Selatan, Andre Francisco berjaya
mengurangkan defisit jaringan tersebut selepas meledak gol pembukaan
pasukannya selepas dua minit aksi separuh masa kedua berlangsung.
Ia gara-gara kesilapan pemain sayap, P.Gopinathan yang gagal
mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya dan Francisco berjaya
mengambil kesempatan itu dengan menewaskan penjaga gol Pahang, Khairul
Azhan Mohd. Khalil.
Pahang yang melakukan pertukaran dengan memasukkan Mohd. Saiful Nizam
Miswan dan Azidan Saruddin bagi menggantikan Jalaluddin Jaafar dan
Amirul Hadi, memiliki percubaan terbaik menerusi R. Surendran namun
tendangan tersebut gagal menemui gawang Johor DT pada minit ke-78.
Pahang yang cuba mengatasi agregat 2-2 pada aksi tersebut, begitupun
gagal untuk menambah jaringan dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat
perlawanan.
Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2, namun kelebihan
jaringan di tempat lawan telah membawa Johor DT melangkah ke final.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan