BAGI memastikan Malaysia kembali sebagai antara gergasi dalam arena
badminton dunia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengadakan
sesi percambahan idea dengan melibatkan media sukan tempatan.
Keseriusan BAM menganjurkan sesi berkenaan adalah bagi mendapatkan
idea baharu untuk mempertingkatkan prestasi sukan badminton tempatan
yang semakin membimbangkan.
Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata, informasi
pencambahan idea bersama media yang diperoleh itu akan dimasukkan dalam
pelan strategik badan induk itu yang akan dibentangkan pada mesyuarat
Majlis BAM Sabtu ini.
"Kita akan pastikan setiap idea yang diberi diuruskan dengan baik bagi program masa depan sukan badminton negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan
forum bertajuk 'Apa yang perlu dilakukan untuk membantu Malaysia
mengembalikan kedudukan utama dalam sukan badminton' di Pusat Konvensyen
Sime Darby Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Tengku Mahaleel berkata, antaranya BAM perlu melihat kepada teknologi
yang digunakan oleh negara lain bagi penambahbaikan sistem
kejurulatihan negara.
"Reputasi pemain negara tidaklah teruk, cuma kita akui banyak
kelemahan daripada aspek akar umbi yang perlu diberikan penekanan,"
katanya ketika membuat rumusan selepas berakhirnya forum sehari itu.
Antara wakil media yang menyertai forum tersebut ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Kosmo!, Utusan Malaysia, The Star, Sports 247, Astro Arena serta wakil kumpulan Media Prima iaitu Harian Metro, Berita Harian, New Straits Times dan TV3.
Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong memuji inisiatif
yang dilakukan BAM kerana menerusi forum tersebut, badan induk itu
memperoleh idea baharu untuk merangka program pembangunan sukan
tersebut.
"Wartawan sukan tempatan mempunyai analisis tentang prestasi
badminton negara menerusi liputan mereka. Idea yang diberi dapat
membantu BAM dalam membuat transformasi.
"Kita dapat berkongsi pendapat seperti melihat semula kaedah latihan
serta penekanan disiplin terhadap pemain," katanya yang juga bekas
pemain badminton Pulau Pinang pada era 70-an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan