|
NEW YORK - Pemain pilihan kelima, Li Na dari China menempah slot ke
separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2013 buat
pertama kalinya kelmarin.
Juara Terbuka Perancis 2011 berusia 31 tahun itu menewaskan Ekaterina
Makarova dari Rusia 6-4, 6-7, 6-2 pada aksi suku akhir yang berlangsung
selama dua jam 20 minit di Stadium Arthur Ashe.
Li Na tampil dengan aksi cemerlang pada awal set pertama untuk
mendahulu 4-2, namun tewas lima daripada enam mata terakhir, sekali gus
memaksa perlawanan diheret ke set ketiga.
"Saya sangat gembira. Selepas tewas pada set kedua, saya agak kecewa
kerana saya telah mendahului 4-2 tetetapi saya sentiasa mengingatkan
diri sendiri supaya memberikan pukulan yang terbaik untuk meraih mata,"
kata Li Na.
Begitupun, Li Na berdepan tugas getir pada aksi kelompok empat pemain
terbaik kerana dia perlu berdepan juara bertahan, Serena Williams yang
kini mempunyai misi untuk merangkul gelaran kelima pada kejohanan Grand
Slam di laman sendiri itu.
Pemain No. 1 dunia dan pilihan pertama kejohanan itu mengesahkan slot
ke separuh akhir selepas menewaskan pemain pilihan ke-18 dari Sepanyol,
Carla Suarez Navarro 6-0, 6-0.
"Saya akan berehat dengan tenang sambil makan kentang goreng dan
menonton (televisyen) selepas ini," kata Li Na ketika diminta mengulas
mengenai persiapannya untuk menghadapi Serena.
Sementara itu, Makarova yang membuat kejutan dengan menewaskan Serena
pada pusingan keempat Terbuka Australia tahun lalu mengakui perasaan
gementar menjadikan corak permainannya lebih agresif.
"Saya gugup. Saya harap dapat bermain dengan lebih baik lagi pada kejohanan akan datang," kata Makarova.
Dalam pada itu, pemain Belarus, Victoria Azarenka mara ke suku akhir
selepas menewaskan Ana Ivanovic dari Serbia 4-6, 6-3, 6-4 dalam satu
perlawanan yang ditunda ekoran hujan.
Azarenka yang tewas kepada Serena pada aksi final Terbuka AS tahun
lalu akan bertemu pemain Slovakia, Daniela Hantuchova bagi memburu slot
separuh akhir.
"Dia (Hantuchova) bermain tenis sepanjang hidupnya. Dia bermain
dengan baik dan memiliki keyakinan yang tinggi. Jika pertarungan itu
menjadi sengit, ia bukan satu kejutan," ujar Azarenka. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan