Ahad, 1 September 2013

Dua gol Isco julang Real


MADRID - Real Madrid mengekalkan rekod kebal tanpa kalah musim ini apabila mengecewakan Athletic Bilbao dengan kemenangan bergaya 3-1 dalam aksi Liga Sepanyol di Stadium Santiago Bernabeu semalam.

Skuad kendalian Carlo Ancelottti membuka tirai jaringan menerusi ledakan Isco seawal minit ke-25 sebelum menggandakan kelebihan menerusi jaringan Cristiano Ronaldo pada masa kecederaan babak pertama.

Isco sekali lagi bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol ketiga buat The Galacticos apabila tenang menyempurnakan hantaran Karim Benzema pada minit ke-72.

Pasukan pelawat akhirnya memperoleh jaringan saguhati menerusi jaringan Ibai Gomez kira-kira 10 minit sebelum perlawanan tamat.

Dengan keputusan itu, Real kini berkongsi sembilan mata dengan peneraju liga, Villarreal namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Terdahulu, Villarreal menambah derita Osasuna selepas melakar kemenangan selesa 3-0 dalam satu lagi aksi liga di Stadium El Sadar awal pagi semalam.

Gol jaringan Jeremy Perbet pada minit ke-22, Javier Aquino (28) dan Ikechukwu Uche (75) sudah cukup untuk menjamin kemenangan bergaya pelawat.

Dengan kemenangan itu, Villarreal yang mengutip sembilan mata maksimum kini menerajui Liga Sepanyol sementara Osasuna kekal di tangga tercorot liga selepas tumpas dalam ketiga-tiga perlawanan setakat ini.

"Kami berjaya mempamerkan aksi yang menakjubkan.
"Kreativiti pemain wajar dipuji apabila berjaya membawa pulang tiga mata berharga sekali gus menerajui liga," kata pengendali Villarreal, Marcelino Garcia

Sementara itu, gol tunggal jaringan pemain pertahanan, Marc Valiente pada minit ke-47 sudah cukup untuk membantu Real Valladolid mengatasi Getafe 1-0.

Celta de Vigo pula sekadar seri 1-1 dengan Granada setelah jaringan awal Rafinha pada minit ke-29 berjaya dipadam penyerang Granada, Piti yang meledak gol penyamaan pada minit ke-62. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan