SKUAD hoki negara harus kerap mengatur aksi persahabatan dengan
gergasi-gergasi dunia jika mahu mengelak daripada menjadi pasukan
belasahan pada kempen Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.
Bekas pertahanan negara era 1990-an, Maninderjit Singh menjelaskan,
aksi menentang pasukan seperti Jerman, Belanda, Australia, England
mahupun Belgium amat penting bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang
dikenal pasti selain mampu menguatkan keyakinan barisan pemain negara
dalam kempen tersebut.
"Kita hanya ada sembilan bulan lagi untuk melakukan persiapan
(sebelum Piala Dunia) dan selepas aksi hambar pada Piala Asia di Ipoh
tempoh hari, saya lihat banyak kelemahan yang kita perlu tangani dengan
segera.
"Antara kelemahan tersebut ialah aksi pemain tidak konsisten
sepanjang permainan, jentera penyudah yang agak tumpul terutama dalam set piece sudut penalti serta kelemahan di barisan pertahanan.
"Jadi untuk memperbaiki masalah ini, hanya perlawanan dengan pasukan
terbaik dunia yang boleh memberi ruang kepada kita mengenal pasti
kelemahan seterusnya mengatasi masalah itu.
"Ia juga mampu menguatkan lagi keyakinan dan moral pemain sekiranya
berdepan pasukan-pasukan gergasi ini di Belanda nanti," jelas
Maninderjit yang pernah beraksi dalam dua temasya Olimpik dan dua kempen
Piala Dunia.
Malaysia berjaya menamatkan kemarau beraksi di pentas Piala Dunia
buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun setelah menjadi pasukan ketiga
dalam senarai menunggu.
Skuad kendalian Paul Revington itu yang menduduki tempat kelima dalam
saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru Julai lepas, gagal
melunaskan misi mereka menjuarai Piala Asia di Ipoh yang berakhir Ahad
lalu dengan menduduki tempat keempat.
Situasi itu mula menimbulkan kebimbangan terhadap moral dan keyakinan
para pemain selepas prestasi permainan mereka dilihat semakin merosot
di Ipoh dengan hanya mencatat dua kemenangan (ke atas Taiwan dan Jepun).
"Saya rasa kegagalan kita pada Piala Asia adalah disebabkan keletihan
kerana kejohanan itu bermula lebih kurang 20 hari selepas Liga Hoki
Dunia di Johor Bahru berakhir," kata bekas penyerang dan kapten negara,
Mirnawan Nawawi.
"Namun, apa yang pasti dalam masa sembilan bulan sebelum Piala Dunia,
Paul perlu mencari formula terbaik mengatasi tiga kelemahan iaitu dalam
aspek konsistensi, fizikal dan mental pemain.
"Kecergasan dan kekuatan fizikal harus dipertingkatkan lagi jika mahu
setiap pemain memberi aksi yang konsisten sepanjang berada di atas
padang.
"Untuk menguatkan psikologi pemain, Malaysia perlu banyak bermain
menentang pasukan terbaik dunia supaya mental dan keyakinan pemain
setanding dengan pasukan gergasi dunia yang lain," tambahnya yang
membuat 327 penampilan antarabangsa serta beraksi dalam dua pentas
Olimpik serta Piala Dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan