LONDON - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mengakui, gembira dengan
pembelian pemain baharu yang dilakukan kelab itu meskipun gagal
mendapatkan khidmat Shay Given pada saat-saat akhir semalam.
Rodgers berjaya melengkapkan pembelian dua pemain pertahanan, Tiago
Ilori dan Mamadou Sakho serta seorang pemain sayap, Victor Moses.
Ilori dibeli dengan harga £7 juta (RM35.7 juta) dari Sporting Lisbon,
Sakho dari Paris Saint-Germain dengan £12 juta (RM61.3 juta) dan Moses
secara pinjaman daripada Chelsea.
Meskipun pembelian penjaga gol berusia 37 tahun Aston Villa, Given
gagal dicapai, Rodgers masih gembira kerana memiliki Brad Jones sebagai
penjaga gol simpanan kepada Simon Mignolet.
Pengurus skuad The Reds itu berjaya membawa lapan pemain
senior iaitu Ilori, Sakho, Moses, pertahanan tengah, Kolo Toure,
pertahanan kiri, Aly Cissokho, perancang, Luis Alberto dan penyerang,
Iago Aspas.
Beliau juga berjaya menghalang penjaring terbanyak musim lepas, Luis
Suarez daripada meninggalkan Anfield selepas pemain itu mendedahkan
niatnya mahu berhijrah.
"Saya sangat berpuas hati. Musim perpindahan kali ini sangat produktif buat kami.
"Kami berhadapan lebih banyak persaingan dan sebagai pengurus, sudah
pasti saya mahukan lebih banyak perebutan, namun kami sudah boleh
bergembira dengan pembelian yang kami lakukan ini.
"Kami membawa masuk beberapa pemain baharu ke dalam skuad ini. Apa
yang kami mahu pastikan selepas ini ialah sikap dahagakan kemenangan
dalam diri pemain-pemain.
"Kami menjalankan urusan yang baik sepanjang musim panas ini dan kami
akan mengekalkannya sehingga Januari depan. Selepas itu, kami lihat apa
yang berlaku.
"Saya memberi jaminan bahawa kami akan tampil lebih kuat sekali lagi
tahun ini dan mengharungi separuh kedua musim ini seperti yang
ditunjukkan musim lalu," kata Rodgers. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan