|
PENGENDALI sementara Selangor, P. Maniam belum mahu mengibarkan 'bendera putih'.
Meskipun sedar peluang Selangor 'mengetuk pintu' suku akhir Piala
Malaysia cukup sukar, lantaran Gergasi Merah sekadar mengutip dua mata
ketika aksi Kumpulan A hanya berbaki dua perlawanan, Maniam masih belum
menyerah kalah.
Namun pada masa sama, Maniam mengakui situasi kali ini cukup berbeza
berbanding ketika beliau mengambil alih 'baton' daripada K. Devan yang
meletak jawatan ketika saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia pada
2011.
Ketika itu, skuad kendalian beliau tetap berjaya mara ke separuh akhir sebelum dijinakkan Terengganu dengan agregat 2-4.
Kali ini, segala-galanya dilihat serba tidak menjadi buat Selangor
sehingga memaksa bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim mengucapkan
selamat tinggal sebaik Gergasi Merah tumpas 0-3 kepada Sime Darby minggu
lalu.
Segera mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan, Maniam
bagaimanapun dilihat masih belum lulus ujian sulung kali ini apabila
anak-anak buahnya sekadar seri 1-1 dengan Sime Darby di Stadium Shah
Alam malam kelmarin.
"Situasi dan tekanan kali ini cukup berbeza berbanding 2011. Kali
ini, saya terpaksa mengharap tuah kekalahan dua pasukan teratas (ATM dan
Sime Darby) selain memburu enam mata maksimum selepas ini.
"Meskipun sukar, saya percaya kami mampu memberikan yang terbaik dalam dua lagi aksi selepas ini," kata Maniam kepada Kosmo! semalam.
Pada aksi kelmarin, Selangor terlebih dulu membuka tirai jaringan
menerusi Francis Forkey Doe pada penghujung babak pertama sebelum
penyerang berbisa Sime Darby, Karlo Primorac meledak gol penyamaan pada
minit ke-79.
Justeru, Maniam menuntut anak-anak buahnya terutama beberapa pemain
yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan seperti Mohd. Amri Yahyah,
Mahalli Jasuli, Asraruddin Putra Omar, K. Gurusamy dan S. Kunanlan
memperoleh tonik semangat selepas ini.
"Moral pemain tidak begitu memberangsangkan ketika ini, jadi saya
harap kesemua pemain terutamanya mereka yang menyarung jersi kebangsaan
dapat memulihkan semula keyakinan mereka sebelum kembali membantu
Selangor untuk mara ke suku akhir," katanya.
Ditanya mengenai desakan peminat Gergasi Merah yang mahukan beliau
kekal menerajui Selangor musim depan dan bukan sekadar tampil sebagai
'pilihan kedua', Maniam berkata: "Itu terpulang kepada pihak pengurusan.
Saya sayangkan Selangor dan berazam mahu memberikan yang terbaik."
Selangor akan berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang
berdepan ATM pada 17 September sebelum melayan kunjungan Johor di
Stadium Shah Alam empat hari kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan