NEGERI Sembilan enggan mendabik dada walaupun berjaya menumbangkan
penyandang juara, Kelantan dalam aksi keempat Kumpulan C Piala Malaysia
di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Bagi pengendali sementara skuad Hoben Jang Hoben, Ridzuan Abu Shah,
anak-anak buahnya berhak bergembira, namun beliau tidak mahu mereka
terus dibuai mimpi indah dengan kejayaan tersebut.
Katanya, saingan dalam peringkat kumpulan masih belum tamat dan
setiap pasukan mempunyai peluang sama rata untuk merebut slot ke
peringkat kalah mati.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong Kelantan malam kelmarin, Negeri
Sembilan mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk mengejutkan The Red Warriors 3-2.
Dengan kemenangan itu, Negeri Sembilan kini merampas kedudukan
teratas Kumpulan C apabila memperoleh tujuh mata diikuti rapat Pahang
dan Kelantan yang masing-masing berkongsi lima mata.
"Bagi saya kedudukan kami masih belum selamat kerana masih ada
beberapa perlawanan yang perlu diharungi dan semua pasukan juga masih
mempunyai peluang sama rata.
"Dua baki perlawanan (peringkat kumpulan) selepas ini sudah tentunya
semakin sukar kerana semua pasukan sudah pasti akan bermain
bermati-matian untuk merebut slot ke suku akhir," kata Ridzuan kepada Kosmo! semalam.
Menurut Ridzuan, masa untuk bergembira sudah tamat dan kini beliau
mahu anak-anak buahnya berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki kelemahan
yang ada bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
"Kemenangan ini perlu kita jadikan motivasi untuk buat yang lebih
baik tetapi pada masa yang sama, saya menasihatkan para pemain supaya
tidak cepat berpuas hati," tegasnya.
Mengulas lanjut aksi menentang Kelantan, Ridzuan memuji aksi
anak-anak buahnya yang bekerja keras sepanjang perlawanan bagi meraih
kemenangan berharga tersebut.
"Dalam perlawanan itu jelas pasukan lawan lebih mengusai permainan
tetapi para pemain saya telah menunjukkan tahap disiplin yang tinggi
bagi menyerap setiap gerakan Kelantan," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan