LIVERPOOL - Liverpool seolah-olah sudah melupakan Luis Suarez.
Buktinya, The Reds berjaya melakar kemenangan ketiga berturut-turut
musim ini selepas menjinakkan juara bertahan, Manchester United dengan
kemenangan tipis 1-0 dalam aksi Liga Perdana England di Anfield, malam
tadi.
Daniel Sturridge muncul wira tuan rumah apabila mencetak gol tunggal
perlawanan selepas tenang menyempurnakan hantaran Daniel Agger seawal
minit ketiga.
Ia merupakan gol ketiga peribadi Sturridge musim ini apabila turut
mencetak gol tunggal perlawanan semasa membantu The Reds mengecewakan
Stoke City dan Aston Villa dalam dua aksi terdahulu, juga dengan
kemenangan tipis 1-0.
Tidak mustahil, Sturridge kini lebih disayangi peminat fanatik The Reds berbanding Suarez.
Masa depan Suarez di Anfield kini masih samar menjelang tarikh akhir jendela perpindahan pemain yang akan ditutup hari ini.
Dia yang menjalani hukuman penggantungan 10 perlawanan selepas
didapati bersalah menggigit pemain pertahanan Chelsea, Barislav Ivanovic
musim lalu dikatakan mahu menyertai Real Madrid ataupun Arsenal kerana
mahu beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara.
Malam tadi, tuan rumah berpeluang menggandakan kelebihan namun
percubaan kapten, Steven Gerrard tepat ke dakapan penjaga gol United,
David De Gea pada minit ke-26.
United berpeluang menyamakan kedudukan namun percubaan Robin van
Persie selepas hanya berdepan dengan penjaga gol lawan tersasar pada
minit ke-86.
Liverpool juga mampu menang selesa jika tidak kerana percubaan Raheem
Sterling berjaya ditepis keluar De Gea pada masa kecederaan.
Dengan keputusan itu, skuad kendalian Brendan Rodgers kini
mengungguli carta liga dengan sembilan mata maksimum, dua mata di depan
pencabar terdekat, Chelsea.
Dalam satu lagi aksi di The Hawthorns, West Bromwich Albions terpaksa
berputih mata apabila dikecewakan pasukan pelawat, Swansea City 0-2
hasil jaringan Ben Davies pada minit ke-22 dan Pablo Hernandez (88). -
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan