Ahad, 1 September 2013

Cabaran positif Harimau Muda


BUKAN 'kacau daun', sebaliknya cabaran positif buat kesemua pemain Harimau Muda.

Itu cabaran yang wajar disahut majoriti pemain skuad muda negara rentetan kehadiran beberapa 'wajah baharu' yang dipanggil pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang Pestabola Merdeka 2013 yang bakal membuka tirainya di Kuantan, Pahang pada 7 September ini.

Biarpun ada yang beranggapan slot pemain sedia ada ke temasya Sukan SEA barangkali sedikit terjejas dengan kehadiran beberapa pemain berkenaan, Kim Swee memiliki jawapan beliau yang tersendiri berhubung perkara itu.

"Seringkali saya katakan sejak awal tahun ini, tiada slot automatik buat mana-mana pemain untuk beraksi dalam skuad temasya Sukan SEA.

"Prestasi semasa yang konsisten kekal menjadi keutamaan saya memilih senarai pemain ke Myanmar.
"Seandainya mahu beraksi pada temasya Sukan SEA, pemain perlu mengekalkan prestasi semasa yang konsisten terutamanya pada Pestabola Merdeka kerana jika tidak, jangan terkejut sekiranya ada pemain asal yang pernah beraksi di Indonesia juga diketepikan ke Myanmar kali ini," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Kim Swee bersama senarai awal 25 pemain telah berlepas ke Kuantan semalam dan bakal menjalani latihan di sana sebelum senarai akhir 22 pemain dijangka diketahui sehari dua sebelum saingan Pestabola Merdeka bermula.

Kali ini, Kim Swee menyenaraikan kembali bekas anak didiknya yang juga pemain tengah Selangor PKNS, Muhammad Nazmi Faiz Mansor selain turut memanggil beberapa pemain muda yang menampilkan persembahan terpuji bersama skuad negeri masing-masing sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini seperti pemain Perak, Mohammad Nasir Basharuddin, S. Sivanesan (Negeri Sembilan), Nik Mohd. Shahrul Azim (Kelantan) dan Putera Nadher Amarhan Maderner atau Junior Eldstal (Sarawak).

Kim Swee turut menyenaraikan tiga tonggak berpengalaman iaitu pertahanan Terengganu, Mohd. Zubir Mohd. Azmi, pemain sayap Angkatan Tentera Malaysia, K. Reuben serta pemain sayap yang berkelana di Jepun dan bermain bersama kelab FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor.

"Bukan sahaja Nazmi dan Wan Zack, malah kesemua pemain perlu mempamerkan prestasi yang konsisten dalam kempen Pestabola Merdeka.

"Jadi, mana-mana pemain yang tidak terpilih (ke Pestabola Merdeka) tidak sewajarnya berasa terpinggir sebaliknya menyahut cabaran itu dengan positif supaya kembali tersenarai ke Myanmar," jelas Kim Swee.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan