Ahad, 1 September 2013

Tevez ledak gol lagi


MILAN, Lombardy _ Bintang penyerang Argentina, Carlos Tevez meledakkan gol keduanya dalam saingan Serie A ketika membantu penyandang juara, Juventus membenam Lazio 4-1 semalam, sekali gus mengekori rapat Napoli, yang masih meneraju liga bola sepak Itali dengan kemenangan 4-2 ke atas Chievo.

Juventus meledak empat gol tanpa balas ke atas Lazio ketika mereka menjulang Piala Super Itali, dua minggu lalu, di mana Tevez menjaringkan gol pertamanya buat kelab Bianconeri itu.

Selepas turut membantu Juventus mengutip tiga mata penuh minggu lalu selepas menumpaskan Sampdoria 1-0, bintang Argentina itu mempamer aksi cemerlang buat tuan rumah dan berganding baik dengan Arturo Vidal. 

"Berjaya merobek gawang Lazio dengan empat gol sekali lagi, menandakan bahawa prestasi kami semakin baik dan baik. Kami menunjukkan persembahan cemerlang, baik dalam gerakan secara kolektif mahupun individu.

"Kami menunjukkan permainan yang sangat menakjubkan pada 25 minit pertama dan bermain mengikut perancangan yang dilakukan. Kami tidak bernasib baik kerana tidak memperoleh lebih banyak gol ketika mendahului 2-0," kata pengendali Juventus, Antonio Conte.

Lazio memulakan saingan dengan nada positif apabila Hernanes mengutip bola yang tidak ditendang kemas oleh pertahanan Juventus, Andrea Barzagli untuk menguji penjaga gol, Gianluigi Buffon menerusi rembatan ke penjuru gawang. 

Begitupun selepas percubaan tersebut, Juventus mengambil alih penguasaan dan membuka jaringan menerusi Vidal seawal minit ke-14. Pemain Chile itu melakukan larian yang cantik selepas menerima hantaran Paul Pogba untuk menewaskan penjaga gol, Federico Marchetti. Hanya 12 minit kemudian, dia menambah gol kedua tuan rumah apabila menghukum benteng pertahanan Lazio yang seakan tidur.

Lazio bagaimanapun berjaya merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-28 menerusi pemain antarabangsa Jerman, Miroslav Klose yang melepaskan rembatan dari jarak 25 meter. Jaringan itu bagaimanapun tidak cukup untuk membangkitkan semangat pasukan pelawat.

Juventus sebaliknya bertambah garang sebaik babak kedua bermula dengan menambah dua lagi gol menerusi Mirko Vucinic pada minit ke-49, diikuti jaringan cantik Tevez, 10 minit sebelum tamat permainan. 

Dalam satu lagi perlawanan tumpuan, skuad bimbingan Rafael Benitez, Napoli mengekalkan kedudukan pendahulu Serie A selepas membawa pulang tiga mata dari Chievo hasil kemenangan 4-2.
Bintang penyerang Slovakia, Marek Hamsik meledakkan dua gol buat pasukan pelawat pada minit ke-13 dan 64, manakala manakala dua lagi jaringan mereka diperoleh menerusi Jose Callejon di minit ke-27 dan Gonzalo Higuain pada minit ke-70. 

Biarpun penyerang tuan rumah, Alberto Paloschi turut mempamer aksi memberangsangkan dengan menyumbat dua gol, namun ia tidak dapat membantu mereka daripada kalah di depan penyokong sendiri. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan