|
NEW DELHI - Impian pemecut handalan Malaysia, Mohd. Harrif Salleh
untuk menyumbang pingat tidak kesampaian apabila sekadar menduduki
tempat kelapan pada perlumbaan lepas beramai-ramai elit lelaki Kejohanan
Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 sejauh 156.2 kilometer (km) di Litar
Formula Satu Buddha International Circuit, Uttar Pradesh semalam.
Pemecut Terengganu Cycling Team (TSG) itu muncul sebagai pelumba
terbaik negara pada perlumbaan tersebut apabila melintasi garisan
penamat dengan catatan masa 3 jam 36 minit 38 saat.
Muhammad Rauf Misbah pula menduduki tempat ke-15 (3:37.17s), Mohd.
Zamri Salleh menduduki tempat ke-16 (3:39.38s) manakala Amir Mustafa
Rusli menamatkan saingan di tempat ke-24 dengan catatan masa 3:39.43s.
Acara tersebut dimenangi pelumba Uzbekistan, Muradjan Halmuratov yang
merakam masa 3:33.59s diikuti tonggak Iran, Arvin Moazemi Goudarzi yang
meraih pingat perak dengan masa 3:34.11s.
Andrey Mizurov dari Kazakhstan pula memenangi pingat gangsa dengan masa 3:34.16s.
Dengan kemenangan tersebut, Halmuratov telah mendominasi pingat emas
acara ujian masa individu (ITT) elit lelaki dan acara lepas
beramai-ramai elit lelaki.
Namun, pada satu ketika, impian Malaysia dilihat cerah apabila Amir
Mustafa melakukan pemecahan bersama pelumba Indonesia sejauh 70km.
Mohd. Zamri pula melakukan pemecahan pada pusingan kedua tetapi dia tidak mampu bertahan lama.
Mohd. Harrif bagaimanapun berikrar untuk menyumbang pingat pada ACC 2014 yang bakal diadakan di Astana, Kazakhstan.
"Saya dimaklumkan laluan di Astana juga landai. Saya akan berusaha
lebih keras lagi selepas ini untuk menang pingat. Saya memang mengidam
pingat menerusi acara lebuh raya," katanya.
Bagi jurulatih negara, Aminuddin Sulaiman pula berkata, beliau tetap
berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya biarpun mereka gagal
berada di podium.
"Apa yang saya lihat, prestasi para pelumba negara menunjukkan
peningkatan sejak Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu. Ini cukup
membanggakan saya kerana mereka sudah dapat memperlihatkan kerjasama
berpasukan yang cukup baik.
"Pada perlumbaan hari ini (semalam), setiap pelumba melakukan kerja
masing-masing dengan baik. Mereka sudah tahu tugas yang perlu dilakukan
dan hanya disebabkan kesilapan strategi, kita gagal untuk melihat
seorang pelumba negara berada di podium." katanya.
Menurut Aminuddin, barisan pelumba yang dipertaruhkan semalam
merupakan antara yang terbaik, sekali gus memberi petanda awal betapa
skuad lebuh raya negara mampu menampilkan prestasi lebih baik pada
temasya Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.
"Ini adalah barisan pelumba terbaik yang kita ada. Selain itu, saya
akan tetap memantau perkembangan Anuar (Manan) biarpun dia tidak beraksi
pada ACC kali ini.
"Melihatkan prestasi Anuar pada LTdL lalu, dia masih dianggap antara pakar pecut terbaik di negara selain Harrif," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan