RIO DE JANEIRO - Pelari pecut Jamaica, Usain Bolt dan atlet Britain,
Jessica Ennis meraih kemenangan tertinggi di Anugerah Sukan Dunia
Laureus semalam.
Bolt dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Dunia Laureus buat kali
ketiga selepas unggul meraih tiga emas di Sukan Olimpik London dalam
acara 100 meter, 200 meter dan 4x100 meter.
Kemenangan diraih Bolt itu berjaya mengetepikan pencalonan lain
termasuk juara Jelajah Perancis dari Britain, Bradley Wiggins, pemain
bola sepak Argentina, Lionel Messi, pelari jarak jauh Britain, Mo Farah
dan pelumba Formula Satu dari Jerman, Sebastian Vettel.
Pemenang anugerah tersebut dipilih oleh Akademi Sukan Dunia Laureus
di mana senarai awalnya telah membariskan seramai 46 bintang sukan.
Dalam pada itu, Ennis yang meraih pingat emas dalam acara heptathlon
di Sukan Olimpik tahun lalu, memenangi Anugerah Atlet Wanita Terbaik
Dunia.
"Ia amat mengujakan berada di sini, di hadapan semua atlet di mana pencapaian mereka amat luar biasa," ucap Ennis.
Bekas perenang Amerika Syarikat (AS) Michael Phelps turut meraih
Anugerah Pencapaian Luar Biasa selepas melakar sejarah di Sukan Olimpik
lalu.
Bersara selepas meraih 22 pingat termasuk 18 emas di Sukan Olimpik,
Phelps menganggap ia melalui satu karier yang amat luar biasa.
"Agak gila jika difikirkan yang semua itu sudah berlalu," kata Phelps ketika menerima anugerah tersebut.
"Bagaimanapun, saya sudah melakukan apa yang hendak dilakukan dalam
sukan. Saya mahu mengubah sukan renang ke tahap yang tertinggi dan saya
berjaya," tambahnya.
Tidak ketinggalan, pasukan golf Eropah turut d inobatkan sebagai
Pasukan Terbaik Tahunan selepas berjaya menewaskan AS dalam Piala Ryder
di Medinah. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan