Rabu, 13 Mac 2013

Luahan rasa Eddie Hamid


EDDIE HAMID menegaskan dia menghasilkan lagu Bo la Wei sejajar dengan kariernya sebagai komposer.


SIAPA tidak kenal dengan komposer terkenal, Eddie Hamid yang memang tidak dinafikan cukup dikenali menerusi lagu-lagu balada ciptaannya. 

Karya nukilan Eddie sememangnya sering mendapat penerimaan serta tidak kurang juga kritikan dari peminat muzik tempatan. 

Namun baru-baru ini, buat pertama kalinya, komposer yang terkenal dengan lagu, Halimah Jongang ini telah melancarkan sebuah lagu yang berbeza daripada apa yang diciptanya sebelum ini.

Justeru, lagu yang berjudul, Bo La Wei ini telah mendapat kritikan hebat dari masyarakat khususnya penduduk Kelantan sendiri. 

Lagu Bo La Wei yang bermaksud cukup-cukuplah sudah menjadi kontroversi kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur politik. 

Namun, bagi Eddie yang turut menyanyikan lagu tersebut itu, ia merupakan pendapat dirinya sebagai salah seorang anak kelahiran Kelantan yang inginkan perubahan. 

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Eddie Hamid ketika dihubungi baru-baru ini.
Kosmo! : Apabila dapat tahu dikecam oleh penduduk Kelantan, apa reaksi anda?

EDDIE: Tidak dinafikan setelah membaca komen-komen di laman YouTube dan Facebook saya, memang timbul rasa takut dan risau dengan apa yang berlaku. Saya tidak boleh terima keadaan tersebut dan keluarga saya juga telah memarahi saya. Saya juga tahu perkembangan cerita-cerita tentang perkara ini melalui rakan-rakan dan keluarga yang membacanya. 

Saya mengambil keputusan untuk mengunci mulut dan berdiam diri. Semasa mengeluarkan lagu Halimah Jongang pun hentaman (kutukan) yang saya terima tidak seteruk ini. Bagaimanapun, kini saya sudah boleh terima kenyataan tersebut. 

Adakah anda pernah terfikir akan perkara sebegini sebelum melakukannya?
Memang saya ada terfikir, tapi tidak sangka ia seteruk begini. Saya tahu akan timbul isu tetapi sebagai anak kelahiran Kelantan, saya ingin menyuarakan pendapat saya. Tidak sangka pula kerana lagu tersebut orang akan bergaduh. Namun, bukan semuanya yang menghentam lagu tersebut kerana ada juga yang puji seperti mengatakan ia mempunyai melodi yang sedap didengar dan sebagainya. 

Berapa lamakah anda berfikir sebelum bersetuju untuk mengambil tawaran ini?

Saya tidak fikir lama dan terus mengambil peluang ini. Sebenarnya kami sudah banyak kali teliti tentang liriknya. Lirik dibuat oleh saya dan komposer Datuk Mohamad Supardi Md. Noor, yang mana ia telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sempena Himpunan Perdana Anak-Anak Kelantan di Bukit Jalil pada 17 Februari lalu. 

Saya tidak takut kerana ia perkara yang benar. Saya rasa tidak salah untuk menyuarakan pendapat dan yang lain harus mengambil iktibar daripadanya.
Apakah yang membuatkan perkara ini menjadi titik permulaan untuk menyuarakan pendapat?

Saya sudah lama bekerja di luar negeri kelahiran saya kerana memang saya akui agak sukar untuk mendapat peluang pekerjaan di sana. Begitu juga dengan adik-adik saya. Memang tidak dinafikan ramai yang marah namun, ada juga yang turut bersetuju dengan saya. Ia merupakan seperti karya untuk memberi kesedaran kepada negeri kelahiran saya itu. 

Saya tidak berniat untuk mempersendakan mana-mana parti politik namun berkarya dan membuat lagu memang merupakan periuk nasi dan merupakan kerjaya saya. 

Ada kenyataan yang mengatakan anda ingin pulang ke Kelantan dan mahu melihat sendiri bagaimana penerimaan rakyat Kelantan terhadap lagu ini. Bilakah tarikhnya?

Memang benar. Saya bakal mengadakan persembahan secara langsung buat julung-julung lagu ini di Kelantan yang bakal dihadiri Perdana Menteri pada Jumaat, 15 Mac ini pada pukul 8 malam di Bangunan UMNO, Kota Bharu. Ia bersempena majlis pertemuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN), Tanjung Chat, Kota Bharu, Kelantan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan