|
MASA depan pemain import, Simone Del Nero bersama pasukan berstatus
bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) terus menjadi tanda tanya.
Bekas pemain Lazio itu dilihat masih menjalani latihan bersama skuad
Harimau Selatan semalam meskipun terdapat laporan pemain berusia 31
tahun tersebut bakal ditamatkan kontraknya lebih awal.
Malah, jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad ketika ditemui mengakui,
beliau masih belum mendapat sebarang kata putus daripada Del Nero
mahupun Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sendiri.
Jelas Fandi, meskipun akan ada rombakan dilakukan apabila pintu
perpindahan dibuka 8 hingga 22 April depan, namun beliau masih belum
dapat memastikan siapa yang akan disingkirkan.
“Buat masa ini, Del Nero masih mempunyai kontrak bersama Johor DT dan selagi itu, saya boleh terus menggunakan khidmatnya.
“April nanti akan ada pemain baharu yang akan menyertai Johor DT
tetapi saya masih belum tahu siapa yang akan meninggalkan kami,” katanya
ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.
Sebuah portal sukan semalam melaporkan, kontrak Del Nero bersama
Johor DT akan ditamatkan lebih awal dan pemain tengah itu akan pulang ke
negara asalnya selepas selesai urusan bayaran pampasan.
Portal tersebut juga menyatakan, Del Nero mengakui tidak tahu alasan
dia akan disingkirkan tetapi menegaskan, dia sama sekali tidak akan
beraksi dalam Liga Premier bersama pasukan Johor.
Sebelum ini, terdapat spekulasi Del Nero serta tiga lagi pemain Johor
DT, Ezaidy Khadar, K. Sathiya dan Faizal Mansor akan beraksi dalam Liga
Premier bersama Johor bagi ditukar dengan Farid Ramli, Muhammad Nazri
Ahmad, Jasazrin Jamaludin dan pemain Brazil, Andre Francisco.
Del Nero memulakan karier bola sepak secara profesional ketika bersama kelab Empoli pada musim 1998 hingga 2000.
Dia kemudian berhijrah ke kelab Brescia (2000- 2007) dan turut
beraksi dengan kelab Livingston pada saingan Liga Divisyen Satu Scotland
(2001-2002) secara pinjaman sebelum membuat 22 penampilan bersama
Lazio.
Pencapaian terhebatnya apabila berjaya membantu pasukan bawah 21
tahun Itali bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) tahun
2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun yang
sama.
Selain Del Nero, Johor DT pada ketika ini mempunyai seorang lagi pemain import, Daniel Gonzales Guiza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan