Jumaat, 29 Mac 2013

Bertudung penuh atas kerelaan sendiri

DATUK SITI NURHALIZA mula memakai tudung secara sempurna pada sambutan ulang tahunnya yang ke-34 pada 11 Januari lalu.


Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sudah acap kali dikritik ramai terhadap penampilan bertudungnya yang kelihatan belum sempurna memandangkan tidak menutup keseluruhan mahkota berharga miliknya itu.

Namun begitu, penyanyi yang dilahirkan di Temerloh, Pahang itu telah membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada tahun ini.

Ternyata transformasi yang dilakukan oleh Siti itu disambut positif oleh para peminat, cuma terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu.

Antaranya, dia dikatakan mahu bertudung penuh setelah tragedi yang menimpa suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.

Berkesempatan menemui Siti semasa sesi percutian bersama pengguna SimplySiti ke sebuah taman tema di Johor kelmarin, penyanyi itu menegaskan keputusan yang dibuatnya itu adalah atas kerelaan sendiri.

"Memang ada yang beranggapan bahawa keputusan saya ini berpunca daripada tragedi yang melanda suami, tetapi saya ingin nyatakan bahawa ia langsung tidak berkaitan.

"Hasrat bertudung memang sudah lama saya pendam sejak mengerjakan ibadah haji pada tahun 2008. Cuma saya lakukan secara berperingkat-peringkat dan akhirnya keputusan bertudung penuh dibuat ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 11 Januari lalu," jelasnya.

Siti bersama cenderamata potret dirinya yang diberikan pihak pusat taman tema sebagai tanda kenangan.


Menurut Siti, dengan penampilan baharunya itu dia merasakan ia bukanlah satu masalah yang besar untuk beraksi di pentas dan turut gembira kerana peminat telah memberikan sokongan yang pada terhadap dirinya.

"Apabila semakin menginjak usia, saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan ini. Selain itu, saya anggap semua yang berlaku ini merupakan doa daripada para peminat yang sentiasa menyokong saya," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai ikon wanita bertudung yang menjadi pilihan dirinya, Siti menyatakan, dia cukup minat dan tertarik dengan gaya muslimah yang ditampilkan oleh Hana Tajima.

Menurut Siti, dia menjadikan Hana sebagai salah satu contoh untuk imej bertudungnya sekarang ini memandangkan gadis itu dilihat pandai berfesyen, meskipun memakai tudung.

"Setiap wanita yang bertudung tidak semestinya sukar untuk bergaya dan itu yang ditonjolkan oleh Hana Tajima. Saya akui telah menjadikan dia sebagai panduan terutamanya mencari idea tentang cara pemakaian tudung," ujarnya.

Berkenaan dengan penerimaan Datuk K terhadap perubahan penampilan yang dilakukannya itu, Siti menyatakan suaminya merupakan individu yang paling gembira.

"Suami saya begitu memahami kemahuan saya dan dia yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Apa yang menariknya, sesekali dia juga pernah memberikan idea kepada saya untuk memilih tudung yang sesuai," jelasnya.

SITI melayan para peminatnya yang berpeluang bercuti bersamanya di sebuah taman tema di Johor, baru-baru ini.


Datuk K semakin pulih
Bercerita lebih lanjut mengenai keadaan terkini kesihatan suaminya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa bulan lalu, Siti memberitahu Datuk K kini sudah beransur pulih.

Bagaimanapun, ketika ini suaminya itu masih lagi mendapat rawatan susulan seperti menjalani fisioterapi untuk menyembuhkan kecederaan bahu dan tangan yang dialaminya itu.

"Saya sangat bersyukur dengan keadaan kesihatan suami saya sekarang yang dilihat semakin pulih, malah kalau ada kelapangan dia juga akan pergi ke pejabat.

"Selain itu, saya sangat mengagumi ketabahan yang dilaluinya untuk pulih. Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamed menziarahi suami saya, beliau ada memberitahu bahawa menjalani fisioterapi memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi," ujarnya.

Ujarnya, Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Queenstown, New Zealand pada akhir tahun lalu ketika menunggang motor berkuasa tinggi dijangka pulih sepenuhnya pada April ini.

SITI gembira kerana tahap kesihatan suaminya, Datuk K semakin memberangsangkan.


Album baharu
Setelah kali terakhir melahirkan album Melayu iaitu Tahajud Cinta pada tahun 2009, Siti memberitahu, dia bakal muncul dengan album baharu pada tahun ini.

Menurutnya, ketika ini dia masih lagi dalam proses pemilihan lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut dan akan mula memasuki studio rakaman pada bulan Mei ini.

"Untuk album baharu ini saya akan kembali semula dengan konsep pop memandangkan dua buah album saya sebelum itu berkonsepkan irama tradisional dan kerohanian.

"Setakat ini beberapa orang komposer seperti Aubrey Suwito dan Adi 6ixth Sense sudah menyerahkan lagu ciptaan mereka. Namun begitu, saya masih lagi mempertimbangkan sama ada mahu menghasilkan mini album atau album penuh," jelasnya tentang perkembangan terkininya sekarang.

Ujar Siti, untuk album terbaharunya itu juga bakal memuatkan dua buah lagu baharu hasil ciptaannya sendiri sebagai hadiah kepada para peminatnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasratnya yang mahu kembali membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada tahun hadapan, Siti sekadar menyatakan, ia masih dalam peringkat perancangan awal dan berharap ia dapat direalisasikan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan