Isnin, 11 Mac 2013

Malaysia sapu lima emas

Oleh FERZALFIE FAUZI

FATEHAH cemerlang meraih emas acara pecut wanita di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi, semalam. 
 
KUALA LUMPUR - Pelumba senior dan remaja cemerlang pada hari terakhir acara trek Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, semalam apabila menggondol lima pingat emas dalam acara pecut dan keirin.

Mengetuai pungutan emas di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi ialah pelumba veteran, Josiah Ng yang membuktikan dirinya masih berbisa selepas meraih dua pingat emas dalam acara pecut dan keirin walaupun usianya sekarang menjangkau 33 tahun.

Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa juga tidak ketinggalan menyumbang emas buat negara selepas cemerlang dalam acara pecut, namun dia gagal mempertahankan pingat emas acara keirin yang dimenanginya tahun lalu di Kuala Lumpur apabila sekadar meraih perak.

Turut cemerlang ialah pelumba remaja, Muhamad Firdaus Mohd. Zonis yang berjaya mengikut jejak Josiah menyapu bersih emas dalam kedua-dua acara keirin dan pecut. 

Lebih manis pelumba kelahiran Selangor itu telah mengumpul keseluruhan tiga emas selepas Khamis lalu dia berjaya muncul juara dalam acara satu kilometer ujian masa.

Menurut Josiah yang menang saingan akhir pecut selepas menewaskan pelumba Iran, Hassanali Varposhti, semuanya seakan berjalan lancar buat kem negara, semalam adalah hari terbaik mereka dan semuanya telah menjalankan tugas dengan profesional serta saling bekerjasama antara satu sama lain.

"Kemenangan yang amat bermakna, sebelum ini saya fikir hanya untuk meraih satu pingat tidak kira apa warna sekali pun dalam kejohanan ini. Bagaimanapun selepas menang satu demi satu perlumbaan dalam acara pecut, saya mula mendapat keyakinan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pelumba kelahiran Manila, Filipina itu berkata, perlumbaan paling sukar dalam acara pecut adalah ketika bertemu rakan senegara, Azizulhasni Awang pada peringkat suku akhir kerana kedua-duanya sentiasa bersaing sesama sendiri termasuk ketika dalam latihan.

Dalam perlumbaan akhir keirin, Josiah tidak mempunyai masalah untuk menumpaskan pelumba Iran, Mahmoud Parash di tempat kedua dan Jun Wun Gu dari Korea Selatan tempat ketiga. 

Malah, menceritakan kembali perlumbaan itu dia amat berhati-hati dengan pelumba Iran kerana mempunyai dua wakil dalam saingan akhir Mahmoud dan Mohammad Parash. 

"Saya berseorangan sedangkan Iran mempunyai dua pelumba, saya juga memberi fokus kepada pelumba Jepun, Yuta Wakimoto kerana dia seperti dijangka akan meluru ke depan lebih awal. Bagaimanapun saya bangkit selepas menduduki kedudukan ketiga untuk memecut melintasi garisan penamat terlebih dahulu," katanya.

Azizulhasni yang gagal melayakkan diri ke saingan akhir hanya menduduki tempat ketujuh, diikuti Edrus Yunos kelapan dalam perlumbaan penentuan tempat ketujuh hingga ke-12.

Fatehah yang sebelum ini meraih gangsa dalam acara 500 meter ujian masa tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pelumba China, Shi Jingjing dalam saingan akhir pecut wanita.

Bagaimanapun pelumba sensasi Hong Kong, Lee Wai Sze membalas kembali kekalahannya kepada Fatehah di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras tahun lalu dalam acara keirin. Gangsa bagi acara tersebut milik pelumba China, Li Xuemei.

Malaysia meraih keseluruhan tujuh emas, tiga perak dan tujuh gangsa termasuk satu emas yang disumbangkan seorang lagi pelumba remaja Irwandie Lakasek dalam acara scratch lelaki, Khamis lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan