LIVERPOOL - Peluang penyandang Liga Perdana Inggeris (EPL),
Manchester City untuk mengurangkan jurang 12 mata di belakang pendahulu,
Manchester United semakin sukar apabila tewas kepada Everton 2-0 di
Goodison Park hasil jaringan Leon Osman pada minit ke-32 dan minit
terakhir pada masa kecederaan melalui Nikica Jelavic.
Walaupun lawan terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain pada
30 minit terakhir perlawanan, kesempatan itu gagal diambil oleh City
yang dihampakan oleh kecemerlangan penjaga gol Everton, Jan Mucha.
Jaringan menakjubkan daripada Osman memberi pendahuluan berharga
kepada tuan rumah apabila bola rembatannya membuatkan Joe Hart yang juga
penjaga gol No. 1 England langsung tidak bergerak dan terpaku melihat
bola menerjah gawang.
Gol itu membuatkan City tersentak dan melancarkan serangan bertali
arus, terutama melalui Carlos Tevez namun gagal memecah kekentalan
pertahanan Everton yang berdisiplin.
Steven Pienaar dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-61 tetapi semangat tuan rumah untuk memenangi perlawanan tidak padam.
Pengadil membuat keputusan kontroversi apabila tidak memberi sepakan
penalti kepada City selepas bola jelas mengenai tangan Marouane Fellaini
pada minit ke-88.
Ketika City leka menyerang, tindakan David Moyes memasukkan dua
penyerang, Steven Naismith dan Jelavic pada 20 minit terakhir permainan
memberi pulangan apabila serangan balas pada minit terakhir perlawanan
mengesahkan kemenangan Everton. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan