SOUTHAMPTON - Pengendali Liverpool, Brendan Rodgers mengakui
kesilapan benteng pertahanan punca pasukannya tumpas 1-3 kepada
Southampton dalam aksi Liga Perdana England di Anfield kelmarin.
Kejayaan segar menewaskan Tottenham Hotspur 3-2 minggu lalu gagal
diteruskan The Reds yang gagal menyaingi kehebatan Southampton dalam
perlawanan itu.
"Segala-galanya dilihat serba tidak menjadi. Ketinggalan terutamanya
apabila melepaskan gol mudah sememangnya sukar buat mana-mana pasukan.
"Biar pun mencipta banyak peluang, kami gagal menjaringkan gol.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila benteng pertahanan kami begitu mudah
dibolosi," kata Rodgers.
Dalam perlawanan itu, Southampton mendahului 2-0 menerusi jaringan
Morgan Schneiderlin dan Rickie Lambert sebelum Philippe Coutinho
merapatkan jurang kedudukan pada penghujung babak pertama.
Jay Rodriguez bagaimanapun melengkapkan derita tuan rumah menerusi
gol ketiga, sekali gus memastikan kemenangan kedua Mauricio Pochettino
selaku pengurus Southampton sejak mengambil alih tugas Nigel Adkins
Januari lalu.
Selain kemenangan kelmarin, Pochettino juga berjaya membantu
Southampton memalukan satu lagi pasukan elit, Manchester City dengan
kemenangan 3-1 sebelum ini.
"Kami berjaya menyukarkan Liverpool, itu yang penting. Tiga mata ini
cukup berbaloi buat kami sekali gus keluar daripada zon penyingkiran,"
kata Pochettino.
Dengan keputusan itu, The Reds kekal di tangga ketujuh liga, kurang
tujuh mata di belakang Chelsea di tangga keempat liga yang begitu pun
kurang beraksi dua perlawanan. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan