BUKAN sekali, namun dua kali karyawan seni berwibawa Datuk M. Nasir
diberi kepercayaan mengadakan konsert di pentas berprestij Istana
Budaya.
Kali terakhir komposer, penulis lirik, penyanyi dan pelakon terkenal
ini mengadakan konsert di Istana Budaya adalah empat tahun lalu yang
diberi nama Konsert Alam Muzik.
Kali ini, dengan sambutan yang menggalakkan terhadap konsertnya yang
lepas, M. Nasir kembali dengan konsert solo baharu pada tahun 2013 yang
dikenali sebagai M. Nasir Sang Pencinta.
Konsert yang bakal diadakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Jun ini di Panggung Sari dibawakan oleh Bombay Worldwide.
Ia juga mendapat kerjasama dan sokongan Red On Black, Belbis dan pihak Istana Budaya sendiri.
Apa yang menariknya, tidak seperti konsert solonya yang lain, M.
Nasir bakal menampilkan kelainan dengan dijadualkan membawa penonton
konsert itu nanti ke alam maya M. Nasir yang menyentuh jiwa.
“Konsert M. Nasir kali ini akan digabungkan dengan elemen fantasi
yang mana kami akan membawa peminat mengembara bersama M. Nasir selama
beberapa dekad dia bergelar penyanyi.
“Ia juga akan menjadi seperti semi-muzikal yang mana kami akan
gunakan elemen visual dan audio untuk menyelam dan menjiwai karya M.
Nasir yang akan dipersembahkan olehnya kelak,” ujar peneraju Bombay
Worldwide , Zamberi Shaari pada sidang akhbar di Restoran Istana Bambu,
Jalan Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
Selain itu, kumpulan muzik yang mengiringi konsert M. Nasir kelak
ialah gabungan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), kumpulan muzik gamelan
dari Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dengan Aznan Alias sebagai
pengarah muzik.
Tutur M. Nasir pula, pada konsert kali ini, dia akan membuat
persembahan solo sepenuhnya dan tidak turut menampilkan artis lain atau
kumpulan yang dianggotainya suatu ketika dahulu iaitu Kembara.
"Konsert kali ini sememangnya akan membawa kelainan dan serta
pembaharuan di mana saya boleh katakan ia sangat berbaloi untuk
ditonton. Tentang lagu pula, saya akan gabungkan lagu lama dan baharu.
“Lagu-lagu yang dipilih juga akan mempunyai elemen pengembaraan,”
jelas M. Nasir yang turut akan berlakon dalam persembahannya kelak.
Tambahnya, dia memilih judul pencinta kerana mahu orang faham dengan
apa yang dipaparkan. Ia juga lebih kepada kerohanian tentang diri
manusia.
Sebanyak lebih 20 buah lagu yang bakal didendangkan oleh komposer,
penulis lirik dan penyanyi terkenal ini yang dianggarkan berdurasi
selama lebih dua jam.
Dengan itu, M. Nasir sendiri berharap akan dapat memberi ilmu kepada
golongan muda mudi yang hadir menonton konsert ini kerana katanya ia
merupakan pengalaman yang tidak akan didapati di tempat lain.
Justeru, bagi peminat M. Nasir yang ingin mendapatkan tiket untuk
menyaksikan persembahan Sang Pencinta, boleh layari laman
www.ticket2u.biz atau hubungi ticket2u di talian 03- 4147 8600.
Tiket-tiket dijual pada harga bermula RM65 hingga RM455.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan