Rabu, 13 Mac 2013

Amaran kepada United, jangan ganggu Ronaldo


Keengganan Ronaldo menandatangani kontrak baharu dengan Real Madrid telah menimbulkan pelbagai persoalan. - REUTERS 
 
MADRID - Real Madrid semalam mengeluarkan amaran keras kepada Manchester United mengenai isu pemainnya, Cristiano Ronaldo. 

Berita mengenai bintang sayap Portugal itu bakal kembali ke Old Trafford tersebar luas sejak sebulan lalu, malah akhbar Britain, Starsport, tiga minggu lalu mendedahkan bahawa United sedia menawarkan 55 juta pound (RM255 juta) untuk membawa pulang bekas Pemain Terbaik Dunia itu dari Santiago Bernabeu. 

Sebuah syarikat pengeluar barangan sukan gergasi, juga dikatakan bersedia memberi bantuan kewangan kepada United bagi memastikan kepulangan Ronaldo dapat direalisasikan. 

Bagaimanapun, Pengarah Sukan Real Madrid, Emilio Butragueno menegaskan, gergasi bola sepak Sepanyol itu tidak akan melepaskan bintang mereka. 

"Cristiano masih di bawah kontrak dengan Real Madrid dan kami gembira dengannya. 

"Dia seorang pemain profesional yang hebat. Dia amat bercita-cita tinggi dan mengejarnya dengan cara positif. Sumbangan Cristiano kepada pasukan dan kelab cukup luar biasa, kami bertuah kerana memiliki pemain sehebat ini di Real. 

"Dia menjaringkan gol hampir dalam semua perlawanan, itu rekod yang sangat mengagumkan. Saya telah menonton bola sepak sejak berusia 3 tahun tetapi saya tidak pernah melihat sesuatu yang hebat seperti itu. 

"Apabila Ronaldo memasuki padang, anda tahu dia akan menjaringkan gol. Kami memiliki kelebihan yang sangat menakjubkan," kata Butragueno.

Ronaldo telah meledakkan 38 gol buat Real musim ini tetapi dia enggan meraikan salah satu jaringannya ketika membantu Real menumpaskan United dalam saingan Liga Juara-Juara di Old Trafford, minggu lalu. 

Kontraknya bersama juara Eropah sembilan kali itu akan berakhir pada 2015, namun Ronaldo enggan menandatangani penyambungan kontrak dan tindakan tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Pemain berusia 28 tahun ini masih popular di Manchester walaupun sudah empat tahun berhijrah ke Madrid selepas melengkapkan perpindahan rekod dunia bernilai 80 juta pound (RM370.53 juta). 

Malah, pengurus United, Alex Ferguson tidak menyembunyikan keinginan untuk melihat bintang Portugal itu kembali ke Old Trafford. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan