LONDON - Rio Ferdinand dalam dilema selepas dipanggil untuk menyertai
skuad kebangsaan England pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang
San Marino dan Montenegro.
Ferdinand, 34, dilaporkan sedang menimbangkan keputusan untuk bersara
di pentas antarabangsa, sekali gus menolak tawaran bagi menyertai skuad
The Three Lions.
Pemain pertahanan Manchester United itu disenaraikan semula dalam
skuad England buat pertama kalinya sejak jurulatih Roy Hodgson
menggantikan Fabio Capello tahun lepas.
Dia bakal membuat penampilan ke-81 di pentas antarabangsa sekiranya menerima tawaran itu.
Begitupun, Ferdinand mungkin menolak tawaran tersebut selepas
mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan United yang mendakwa
tekanan beraksi bersama kelab dan negara boleh menyebabkan kecederaan
belakangnya berulang.
Pengurus United, Alex Ferguson dan Ferdinand sedang dalam perbincangan dengan pegawai perubatan skuad The Red Devils bagi melihat latihan yang sesuai untuk diberikan kepada pemain itu sekiranya dia menyertai England.
Ferdinand mengakui, berlatih dan beraksi dengan England tanpa
kehadiran doktor pakar mungkin memberi risiko kecederaan yang mampu
menamatkan kariernya.
Ferguson pula sudah pasti mahu pemain itu memberi tumpuan kepada kelabnya.
"Kami perlu memastikan yang dia (Ferdinand) pulih sepenuhnya dari aspek kecergasan.
"Kami telah melakukan pemeriksaan ke atasnya sejak dua minggu lalu
dan nampaknya ia memberi kesan. Kami perlu lihat kepada semua perkara
ini sebelum dia membuat keputusan," kata Ferguson.
Ferdinand dikatakan mula menerima tekanan daripada pegawai perubatan
dan pengurus United itu untuk menolak panggilan menyertai skuad England.
Sekiranya Ferdinand menyertai skuad The Three Lions, ia akan mencetuskan kemarahan Ferguson dan pada masa yang sama, dia mahu menyambung kontrak bersama United.
Bagaimanapun, jika menolak panggilan Hodgson, dia mungkin tidak akan dipanggil untuk selama-lamanya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan