Rabu, 13 Mac 2013

Podolski tinggalkan Gunners?


Lukas Podolski (kiri) menjadi rebutan dua kelab, Juventus dan Atletico Madrid selepas kerap diletakkan di bangku simpanan sejak akhir-akhir ini. - REUTERS 
 
LONDON - Arsenal bakal berdepan cabaran untuk mengekalkan Lukas Podolski pada pasaran perpindahan pemain Jun ini selepas gergasi bola sepak Itali, Juventus dan kelab Sepanyol, Atletico Madrid berminat memancing bintang penyerang Jerman itu. 

Minat untuk Podolski hadir tidak sampai setahun selepas pemain antarabangsa Jerman itu tiba di Emirates dengan bayaran 10.9 juta pound (RM50.47 juta). 

Podolski, 27, bakal terlepas perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang bekas pasukannya, Bayern Munich esok kerana kecederaan. 

Dia diturunkan dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol ketika Arsenal tewas 1-3 kepada Bayern di tempat sendiri, namun Podolski tidak menjadi pemain kegemaran pengurus, Arsene Wenger dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris apabila sekadar memanaskan bangku simpanan. 

Podolski sudah menjaringkan 13 gol musim ini, dan Juventus percaya mereka akan mencapai perjanjian untuk membawa pemain itu ke kancah Serie A dengan kos dianggarkan 15 juta pound (RM70 juta). 

Mereka perlu membida dengan harga yang lebih tinggi berbanding ketika Arsenal mendapatkan pemain itu daripada Cologne, malah Juventus juga sedia menawarkan gaji lebih tinggi daripada yang dinikmatinya sekarang 100,000 pound (RM463,000) seminggu. 

Masalah buku lali yang dialami Podolski menyebabkan dia tidak dapat menyertai rakan sepasukan yang berlepas ke Jerman kelmarin untuk membuat perhitungan dengan Bayern. 

Arsenal turut menerima tamparan dalam usaha bangkit daripada kekalahan apabila bintang tengah England, Jack Wilshere juga belum pasti dapat diturunkan dalam perlawanan penting itu. 

Wilshere masih belum pulih daripada kecederaan buku lali dan mungkin hanya sempat untuk diturunkan apabila Gunners menentang Swansea, Sabtu ini. 

Turut mencemaskan kem Arsenal adalah kemungkinan terlepas khidmat bek kanan, Bacary Sagna yang masih bergelut untuk mengembalikan kecergasan. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan