Sabtu, 16 Mac 2013

Chelsea mara, Inter tersingkir



PEMAIN-PEMAIN Chelsea meraikan kejayaan menewaskan Steaua Bucharest 3-1 pada aksi kedua kalah mati Liga Europa di Stamford Bridge awal pagi semalam.


LONDON - Chelsea menampilkan kebangkitan untuk menewaskan Steaua Bucharest 3-1 pada aksi kedua kalah mati Liga Europa di Stamford Bridge awal pagi semalam.

Chelsea yang tewas 0-1 pada pertemuan pertama di gelanggang lawan minggu lalu menempah slot ke pusingan suku akhir setelah menang dengan agregat 3-2.

Pada perlawanan tersebut, Juan Mata meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-33 sebelum Vlad Chiriches menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-45.

Bagaimanapun, John Terry dan Fernando Torres masing-masing menjaringkan satu gol pada babak kedua saingan untuk mengesahkan kemenangan juara Eropah itu.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi kelab gergasi Itali, Inter Milan meskipun berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 4-1 di Stadium San Siro.

Inter tersingkir daripada saingan menerusi peraturan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4.
"Kami menampilkan aksi yang cukup menarik tetapi malangnya ia tidak mencukupi.

"Kami telah memberikan segala-galanya," kata kapten Inter, Javier Zanetti.

Selepas ketinggalan 0-3 pada pertemuan pertama minggu lalu, Inter membelasah Tottenham 4-1 di gelanggang sendiri tetapi kemenangan itu tidak memadai buat kelab Serie A itu.

Pada perlawanan yang penuh dramatik itu, Inter mendahului 3-0 hasil jaringan Antonio Cassano pada minit ke-20, Rodrigo Palacio (52) dan gol sendiri William Gallas (75).

Begitupun, perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan selepas kedudukan terikat dengan agregat 3-3.

Penyerang Togo, Emmanuel Adebayor kembali menceriakan Spur apabila meletakkan pasukan itu di depan pada minit ke-96 sebelum Ricardo Alvarez menjadikan kedudukan 4-4 pada minit ke-110.

Namun perlawanan itu dicemari dengan insiden keganasan penonton.
Penyerang Spurs, Adebayor yang menjaringkan gol tunggal pasukan itu menjadi sasaran ejekan pada penyokong Inter.

Pengurus Spurs, Andre Villas-Boas berharap UEFA akan mengambil tindakan berikutan insiden tersebut.

"Ejekan mereka sangat jelas untuk didengari. Jadi, saya harap UEFA akan mengambil tindakan," kata Villas-Boas.- Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan