Rabu, 20 Mac 2013

Tiada tekanan kontroversi


TIDAK mahu menimbulkan lebih banyak kontroversi.
MEMILIH untuk berada di dalam dunia lakonan sejak 10 tahun lalu pelakon ini mengakui dia sebenarnya hanya serius berlakon sejak tiga tahun lepas sahaja. Tahu banyak membuang masa di dalam pendakian untuk ke puncak, sasarannya kini hanya satu untuk memberikan kariernya ini dengan usaha yang terbaik. 

Sedang sibuk mencipta nama satu demi satu kontroversi menerpa, bagi Hanez Suraya Abdul Aziz, 28, dia tahu ini merupakan antara risiko yang perlu diterima untuk melayakkan dirinya berada di dalam bidang ini. Bagaimanapun menurut Hanez sebagai seorang anak seni yang hanya mahu bakatnya sahaja di hargai, dia sedar mencipta kontroversi bukan pilihan yang baik untuk berada di atas.

"Memang ada yang berpendapat kontroversi mampu menaikkan nama artis itu.

"Tetapi itu bukan cara saya, kerana saya lebih suka dikenali melalui bakat," katanya.

Percaya melalui tempoh yang panjang di dalam dunia seni banyak membuka matanya mengenai cara terbaik untuk berurusan dengan kontroversi, Hanez yakin tiada apa yang perlu disesalkan dirinya untuk mengetahui rakan-rakan seangkatannya kini sudah jauh meninggalkan dirinya.

"Saya akui banyak menghabiskan masa sebelum benar-benar serius mahu berlakon, namun itu bukan satu perkara yang perlu saya kesalkan kerana ilmu yang saya dapati sepanjang masa itu banyak membantu untuk menjadi siapa saya kini.

"Melangkah dengan lebih matang kini, cara saya untuk berhadapan dengan kontroversi juga amat berbeza dari dahulu, dan mungkin sebab itu saya tidak akan cepat melatah jika diserang kontroversi. Cara terbaik adalah untuk berhadapan dengannya dan bukan melarikan diri,"katanya.

Mula dikenali sebagai pelakon yang sering diberikan cabaran watak antagonis, bagi Hanez dia tidak kisah untuk menerima watak sebegitu selagi ianya mampu memberikan kesan kepada lakonannya. Bagaimanapun Hanez percaya di dalam mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pelakon terbaik, kepelbagaian watak itu diperlukan dirinya.

"Sama ada watak antagonis atau baik, masing-masing juga mempunyai cabaran tersendiri. Sememangnya saya tidak kisah untuk menerima tawaran antagonis selagi ia berkarakter.

"Bagaimanapun saya lebih senang untuk menerima tawaran untuk watak berbeza, selain tidak mahu terikat dengan satu watak sahaja, ia penting untuk saya melayakkan diri bergelar seorang pelakon," katanya yang menginginkan watak lebih mencabar pada masa hadapan.

Tidak mahu jual cinta

Rasanya sudah ramai yang tahu mengenai hubungan yang terjalin di antara pelakon ini dengan seorang penyanyi, Awi Rafael. Menolak untuk mengatakan hubungan mereka kini sudah putus menurut Hanez dia dan kekasihnya itu memilih untuk tidak terlalu mengembar-gemburkan soal ini.

"Kami masih bersama, masing-masing juga sibuk dengan karier masing-masing sebab itu kami dilihat tidak selalu bersama.

"Mungkin kami tidak selalu bercerita tentang hubungan ini, menyebabkan ramai yang merasakan hubungan kami tidak sekuat mana. Sama seperti pasangan lain kami mempunyai cara terbaik untuk memahami kehendak masing-masing," katanya.

Bercerita tentang prinsip yang mahu dipegangnya dan kekasih itu, menurut Hanez, dia dan Awi sebenarnya sudah bersetuju untuk memastikan cerita tantang karier mereka diberikan perhatian dan bukan kisah cinta semata-mata.

"Sejak dahulu lagi kami sudah bersetuju untuk memastikan cinta kami tidak mengaburi tujuan utama kami berada di dalam industri ini.

"Kami berdua selesa begini, malah tidak timbul langsung masalah buat kami bukan kami menyorokkan apa-apa cuma kami kurang bercerita, kami harap penonton faham mengapa kami memilih cara begini," katanya yang turut mengakui seronok melihat kehidupan suami isteri yang dilalui rakannya Awal Ashaari dan Scha Al Yahya.

Mengakui di kala umurnya kini ramai yang sudah menyakinkan dirinya untuk berumah tangga, bagi Hanez mana-mana wanita juga mengimpikan perkara yang sama. Bagaimanapun menurut Hanez buat masa ini dia lebih selesa untuk memberikan tumpuan buat karier dahulu.

"Buat masa ini saya tidak fikir lagi soal itu, sungguhpun sudah ramai yang bertanya saya fikir ia bukan satu tekanan buat saya.

"Memandangkan keluarga Awi dan saya juga sudah mengetahui hubungan yang terjalin di antara kami jadi perkara itu sedikit sebanyak melegakan kerana mereka juga sudah faham apa yang cuba kami rancangkan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan