MADRID - Tonggak pertahanan AC Milan, Kevin Constant memberi amaran, gergasi Serie A itu tidak akan berkampung di kawasan sendiri dan bermain secara defensif apabila menentang Barcelona dalam perlawanan peringkat kedua Liga Juara-Juara di Camp Nou, hari ini.
Biarpun turun bersama kelebihan 2-0 yang dirakam di San Siro pada
peringkat pertama, namun Constant menjangkakan pasukannya tetap berusaha
menambah gol, malah percaya perlawanan pasti sengit kerana Barca turut
memburu jaringan.
"Semua fokus kami ketika ini terarah kepada perlawanan menentang
Barcelona. Kami sedar, pertemuan esok (hari ini) jauh berbeza dengan
peringkat pertama.
"Kami bermula dengan memegang kelebihan 2-0 tetapi kami tidak akan
turun hanya untuk bertahan. Kami bermain dengan mentaliti yang betul,
kalau mereka (Barcelona) bermain dengan menguasai hantaran, maka kami
pula akan melakukan percubaan setiap kali mendapat bola.
"Barcelona adalah pasukan yang hebat tetapi mereka bakal berdepan
cabaran yang sukar. Kami bermain baik sejak awal musim dan kami tidak
perlu gentar apabila menentang kelab terbaik di dunia," ujar Constant.
Bek kiri Guinea itu turut menambah, dia mempunyai keyakinan tinggi
bahawa Milan ada semua ramuan yang diperlukan untuk melangkah ke suku
akhir.
"Saya yakin bahawa kami menunjukkan permainan bola sepak yang bagus
ketika ini dan akan melepasi halangan Barcelona. Kami kena memanfaatkan
kesempatan yang ada.
"Mereka pasti akan menyerang kami daripada pelbagai sudut dan cuba
mencari gol seawal yang mungkin, tetapi kami sudah bersedia secara
fizikal dan mental," katanya.
Selepas memulakan musim dengan memecah pelbagai rekod, Barcelona
mengalami kemerosotan prestasi sejak dua bulan lalu. Mereka hanya
melepaskan dua mata daripada 19 perlawanan awal La Liga untuk mencipta
jurang besar di takhta, namun sejak akhir-akhir ini benteng mereka
melepaskan banyak gol.
Pertahanan mereka dibolosi dalam semua 13 perlawanan terakhir dan
rekod buruk itu hanya berjaya dihentikan pada pertemuan dengan Deportivo
La Coruna, Sabtu lalu yang menyaksikan mereka menang 2-0.
Begitupun Milan, juara Eropah tujuh kali berdepan masalah tersendiri
iaitu hilang dua tonggak akibat kecederaan, penyerang, Giampaolo Pazzini
yang meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut ketika bertemu
Genoa, selain pertahanan, Philippe Mexes.
Bagi pembantu jurulatih Barcelona, Jordi Roura, biarpun kalah dalam
aksi pertama, namun pasukannya menerima kunjungan Milan dengan keyakinan
tinggi kerana mereka tahu apa strategi yang hendak digunakan.
"Kami sangat jelas bagaimana kami akan bermain apabila menentang
Milan nanti dan bagaimana pula permainan mereka menentang kami. Jadi,
kami sudah bersedia untuk melemahkan lawan,'' kata Roura. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan