LONDON - Roy Hodgson mungkin terpaksa menelan semula kata-katanya
sebelum ini apabila mempertimbangkan untuk memanggil tonggak pertahanan
Manchester United, Rio Ferdinand.
Pengurus England itu mengalami krisis pemain pertahanan apabila skuad The Three Lions beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang San Marino dan Montenegro bulan ini.
Ini bermakna, dia mungkin terpaksa berpaling kepada Ferdinand, pemain
veteran yang sering diabaikan sejak mengambil alih tugas pengurus
pasukan kebangsaan, 1 Mei lalu.
Malah, Hodgson, 65, pernah menegaskan bahawa 'alasan bola sepak'
adalah sebab utama dia mengetepikan Ferdinand pada Kejohanan Eropah
(Euro) 2012.
Bagaimanapun sekarang, Hodgson tidak punya banyak masa untuk
mempertahankan hujahnya kerana England memerlukan pertahanan
berpengalaman bagi menghadapi dua perlawanan penting pada 22 Mac dan 26
Mac ini.
Ahad lalu, dia dilihat berada di Old Trafford untuk menyaksikan
Ferdinand mengatasi pemain Chelsea, Gary Cahill dalam aksi suku akhir
Piala FA yang berkesudahan seri 2-2.
Cahill merupakan pemain kegemaran Hodgson, namun prestasinya sekarang tidak sebaik Ferdinand.
Hodgson pernah naik berang ketika diajukan soalan mengenai ketiadaan
Ferdinand, 34, dalam skuad yang menewaskan Brazil 2-1 pada perlawanan
persahabatan bulan lalu.
Jurulatih veteran itu menegaskan, dia bosan bercakap tentang pemain yang tiada dalam pasukannya.
Namun kini, Hodgson kini tidak punya banyak pilihan selepas pemain
Everton, Phil Jagielka terpaksa diketepikan akibat kecederaan buku lali.
Joleon Lescott pula lebih banyak memanaskan bangku simpanan di
Manchester City.
Pemain Stoke, Ryan Shawcross diturunkan ketika menentang Sweden,
November lalu, namun dia mengharungi perlawanan yang buruk, manakala
pemain Tottenham, Steven Caulker sering tersisih daripada kesebelasan
Spurs. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan