|
PENGENDALI Yemen, Tom Saintfiet senada dengan pendapat jurulatih
Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menjelang aksi Kumpulan D kempen
kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam esok.
Saintfiet berkata, ranking terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hanya perbezaan di atas kertas semata-mata.
Ketika ini, Yemen sekadar menduduki tempat ke-170 selepas ketinggalan beberapa kedudukan di belakang Malaysia (164).
“Ranking tidak penting, ia tidak menggambarkan kekuatan sebenar mana-mana pasukan bola sepak.
“Biarpun pemain dari Asia Barat dilihat memiliki skil yang lebih
baik, saiz pemain Asia Tenggara yang kecil dan pantas juga boleh
menyukarkan kami.
“Pada pendapat saya, kekuatan kedua-dua pasukan dilihat seimbang.
Jadi, kami tunggu sahaja perlawanan itu nanti,” katanya sebaik tiba di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
Sebelum ini, Rajagobal beberapa kali menegaskan, ranking skuad negara
tidak penting ekoran kegagalan mereka beraksi dalam aksi persahabatan
berstatus A.
Mengulas lanjut, Saintfiet yang mula membimbing skuad kebangsaan
Yemen, Oktober tahun lalu memberitahu, anak-anak buahnya kini bersedia
memburu mata pertama selepas tumpas 0-2 kepada Bahrain pada aksi pembuka
tirai kumpulan bulan lalu.
Begitupun katanya, ia bukan satu tugas yang mudah kerana menghormati
pasukan negara yang pastinya tampil garang depan penyokong sendiri.
“Saya menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Qatar dan Arab Saudi
tempoh hari. Bagi saya, mereka pasukan yang kuat kerana berjaya
menjaringkan gol.
“Kami tidak datang ke sini (Malaysia) untuk tewas. Menang sudah bagus
tetapi saya lebih gemar memikirkan kemampuan kami mencuri satu mata,”
katanya.
Saintfiet memberitahu, beliau juga arif dengan corak taktikal yang
diamalkan Rajagobal apabila mula mengikuti perkembangan skuad negara
sejak muncul juara Piala Suzuki AFF 2010.
“Saya telah bersahabat dengan Rajagobal sejak sembilan tahun lalu dan sering berhubung menerusi e-mel.
“Pertemuan ini pastinya menarik kerana kedua-dua pasukan memburu
kemenangan pertama bagi menghidupkan peluang menyambar slot ke pusingan
akhir Piala Asia,” katanya.
Menurut Saintfiet, beliau terpaksa melakukan rombakan kecil ketika
berdepan Malaysia ekoran kecederaan yang dialami pemain utama, Akram
Kamel Ali Al-Selwi.
“Namun pada masa sama, saya gembira dengan kehadiran semula penyerang
berbisa, Aiman Saleh Abdullah Al-Hagri yang sebelum ini terpaksa
diketepikan ketika berdepan Bahrain gara-gara kecederaan,” katanya.
Skuad Yemen akan menginap di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam
sepanjang berada di Malaysia selain menjalani latihan di Stadium UiTM,
Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan