WAKIL Singapura, Lions XII merampas status selaku pendahulu Liga Super daripada Selangor selepas menewaskan Negeri Sembilan 0-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.
Kejayaan Lions XII itu hadir menerusi jaringan tunggal kapten, Shahril Ishak yang bijak memanfaatkan gerakan menarik dari pemain tengah, Muhammad Nazrul Ahmad Nazari pada minit ke-79.
Nazrul berjaya melepasi benteng pertahanan Negeri Sembilan sebelum memberikan hantaran kepada Shahril yang menjaringkan gol kemenangan buat skuad kendalian V. Sundramoorthy pada minit ke-79.
Kemenangan tersebut turut membolehkan Lions XII mengekalkan rekod seratus peratus kerana wakil Singapura itu masih belum tewas di laman sendiri pada musim ini.
Kini, Lions XII yang mengutip 20 mata meskipun kurang satu perlawanan, berjaya mengatasi Selangor dengan kelebihan satu mata.
Sementara itu, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Darul Takzim (Johor DT) berjaya menewaskan Terengganu 3-2.
Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal Skuad Penyu menerusi ledakan penyerang import, Effa Owona Jean Emmanuel pada minit kesembilan.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad kendalian Fandi Ahmad mempamerkan persembahan bertenaga dan hasilnya, bintang Harimau Selatan, Dani Guiza menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-37.
Dani Guiza terus menjadi ancaman kepada pasukan bimbingan E. Elavarasan apabila menggandakan kedudukan dengan meledak gol kedua Johor DT pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Mohd. Nurul Azwan Roya terus memastikan Harimau Selatan berada di dalam keadaan selesa apabila meledak gol ketiga buat pasukan tuan rumah pada empat minit selepas babak kedua perlawanan dimulakan.
Terengganu cuba bangkit dan berjaya mengurangkan defisit jaringan apabila Effa Owona menjaringkan gol kedua buat skuad Penyu pada minit ke-55.
Kapten Johor DT, Ahmad Tharmini Saiban dilayangkan kad merah pada minit ke-71 namun ia tidak menghalang Harimau Selatan mengutip tiga mata penuh apabila keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
DI Stadium Shah Alam, pasukan pelawat, Perak membawa pulang tiga mata berharga apabila menewaskan Selangor PK- NS menerusi jaringan tunggal Muhmmad Rafiuddin Roddin pada minit ke-76.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan