|
|
MANCHESTER - Pengendali Manchester United, Alex Ferguson memberikan
amaran terhadap anak-anak buahnya supaya tidak dibuai mimpi indah
biarpun selesa menerajui Liga Perdana England sebaik menjinakkan Reading
1-0 di Old Trafford awal pagi semalam.
Ketika ini, United memiliki kelebihan 15 mata di depan pencabar
terdekat, Manchester City yang dikejutkan Everton dengan kekalahan 0-2
dalam satu lagi aksi semalam.
Namun, Ferguson enggan skuad kendaliannya berasa selesa seolah-olah trofi liga yang ke-20 sudah berada dalam genggaman mereka.
"Sesiapa pun boleh bercakap apa yang mereka suka. Bagi saya, perjuangan United masih belum berakhir.
"Kelebihan selesa selaku peneraju liga bukan hanya hadir hari ini, sebaliknya usaha keras pasukan sejak enam bulan lalu.
"Kami perlu kekal konsisten, jika tidak segala usaha kami sejak enam bulan lalu hanya sia-sia," kata Ferguson.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal perlawanan hasil ledakan penyerang
berbisa, Wayne Rooney pada minit ke-21 sudah cukup untuk memisahkan
kedua-dua pasukan.
Kecemerlangan United mengungguli takhta liga musim ini seolah-olah
mengulangi pencapaian mereka muncul juara edisi 2000 dengan 18 mata di
depan naib juara ketika itu, Arsenal.
Pada masa sama, Ferguson juga membayangkan bakal merombak pasukannya
secara besar-besaran ketika berdepan Sunderland selepas ini sebelum
saingan liga direhatkan kerana aksi persahabatan antarabangsa.
"Kami memiliki skuad berkualiti. Apa gunanya jika polisi penggiliran pemain tidak dimanfaatkan," kata Ferguson.
Dalam pada itu, Rooney juga senada dengan Ferguson dan tidak mahu
situasi selesa United ketika ini mengganggu konsentrasi mereka
mengharungi baki perlawanan selepas ini.
"Kami perlu kekal profesional. Masih ada sembilan perlawanan untuk diharungi.
"Kelebihan 15 mata sesuatu yang menakjubkan, tetapi ia tidak membawa
sebarang makna jika kami dipintas saat-saat akhir," kata Rooney. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan