KUALA LUMPUR 11 Mac - Penyanyi Low Sook Yee, 24, atau lebih dikenali
sebagai Suki terkilan dengan tindakan bekas pihak pengurusannya, Galaxy
Music Sdn. Bhd., yang sehingga kini masih berdiam diri mengenai kes
tuntutan wang RM417,575.17.
Juara musim pertama rancangan realiti TV One in A Million
(OIAM) itu, berkata, keengganan atau kegagalan syarikat tersebut
membayar jumlah wang tersebut telah mencabar kesabarannya sehingga
memohon pihak mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap pengarah
syarikat itu, Chan Tak Wai dan Wong Yoke May, Jumaat lalu.
"Walaupun saya sudah mengambil tindakan mahkamah dan saya memenangi
kes tuntutan itu, namun mereka berdua (Tak Wai dan Yoke May) masih
berdegil dan sampai sekarang tidak memberi respons.
"Mereka juga sudah dua kali gagal menghadirkan diri ke mahkamah untuk
perbicaraan kes. Saya boleh anggap ini adalah satu tindakan membuli
terhadap saya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Menurut Suki, dia amat berharap kes itu dapat diselesaikan segera kerana dia berhak menuntut keadilan.
Dalam pada itu, pihak Galaxy sebelum ini telah membuat kenyataan
bahawa mereka mampu menerbit, memasarkan serta mengedar album
antarabangsa berbahasa Mandarin penyanyi itu untuk pasaran Taiwan, China
dan Hong Kong.
Suki juga mendakwa telah membayar RM367,575,17 iaitu sejumlah wang
tunai selepas memenangi OIAM kepada Galaxy sebagai balasan terhadap
melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Selain itu, Suki mendakwa, Galaxy hanya menghasilkan album tempatan
yang tidak pernah diedarkan di peringkat antarabangsa sehingga mendorong
Suki menandatangani perjanjian pengurusan artis yang mengandungi
terma-terma yang berat sebelah dan tidak saksama kepadanya.
Sehubungan itu, mahkamah telah memutuskan Suki layak menerima wang
ganti rugi sebanyak RM417,575.17 selepas syarikat tersebut didapati
tidak mengikuti perjanjian dalam mempromosikan album tempatan yang
diterbitkan.
Kes akan disebut semula pada 15 Mac 2013. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan