KUALA LUMPUR - Mereka bukan sahaja berjaya
mengalahkan pasukan bintang, Johor Darul Takzim, malah mencatat
kemenangan besar 4-1 walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Itulah semangat luar biasa yang ditunjukkan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin.
Kemenangan itu membuatkan pengendali Red Giants, Irfan Bakti Abu Salim menarik nafas lega selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan terakhir.
"Malam ini kemarau jaringan sudah berakhir buat Selangor tetapi saya
tidak menjangka kami mampu menjaringkan empat gol dalam usaha untuk
mencari tiga mata penuh di gelanggang sendiri," kata Irfan.
Selangor yang mendapat sokongan 40,000 penyokong setia memberi
tekanan kepada pelawat apabila mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Begitupun, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak
pertahanan import, Peter Chrappan menerima kad kuning kedua di minit
ke-56.
"Kemenangan ini membolehkan kami terus bertapak di atas liga. Antara
kekuatan kami mungkin kerana saya dapat mengumpul semua pemain dalam
satu pasukan, sukar untuk memperoleh kesemua 18 pemain dalam masa yang
sama.
"Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan pemain kerana dapat
mencatat kemenangan di tempat sendiri dan mengutip mata penuh ke atas
pasukan Johor DT," katanya.
Selain Chrappan, Selangor juga bakal kehilangan seorang lagi tonggak
pertahanan, Asraruddin Putra Omar yang sudah memungut tiga kad kuning.
Namun, dia masih mempunyai masa yang lama untuk mengatur semula pasukannya.
"Kita akan berehat panjang selepas ini, 29 Mac baru menyambung semula
saingan Liga Super menentang Felda Unied, jadi saya boleh atur kembali
siapa yang akan mengisi kekosongan tersebut. Kita masih mempunyai pemain
seperti Fairuz Abdul Aziz dan Bunyamin Omar.
"Perjalanan liga masih panjang namun kita harus menang dan mengutip
seberapa banyak mata yang mampu, kerana sekarang ini hanya dibezakan
dengan jumlah jaringan dengan pasukan tangga teratas liga Angkatan
Tentera Malaysia (ATM)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan