PETALING JAYA - Arab Saudi seperti tidak
menghormati atau sengaja mencipta tekanan psikologi buat Malaysia
apabila sekadar menghantar pegawai media ke sidang akhbar pra-perlawanan
persahabatan, semalam.
Jurulatih mereka, Juan Ramon Lopez Caro memberi alasan tidak dapat
hadir kerana sibuk dengan sesi latihan pasukannya yang bertembung dengan
sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya itu.
Hanya Khaled Alnuwiser, pegawai media Arab Saudi bersama penyelaras
am yang juga penterjemah, Mohammad Alhenaid muncul sebagai galang ganti.
Untuk rekod, Arab Saudi juga pernah 'memperdaya' anak-anak buah Datuk
K. Rajagobal apabila pada saat akhir membatalkan satu perlawanan yang
mereka sendiri cadangkan.
Insiden itu berlaku dua tahun lalu apabila mereka menjemput pasukan
negara bermain dalam perlawanan persahabatan di Australia dan sanggup
membiayai pertemuan, tetapi kemudian membatalkannya tanpa alasan kukuh.
Ketika ditanya mengapa memilih untuk bertemu Malaysia, Khaled hanya
berkata: "Kami ke sini supaya serasi dengan cuaca dan permainan yang
mirip Indonesia (lawan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2015 di Jakarta,
Sabtu depan).
"Malaysia sebuah pasukan yang bagus dan semakin meningkat."
Sementara itu, Rajagobal pada sidang media sama, mengesahkan terpaksa
melupakan khidmat Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Amiridzwan Taj
Tajudin dan Wan Zack Haikal Wan Nor di Stadium Shah Alam, malam ini
akibat kecederaan serius.
Namun begitu, beliau tidak gusar dengan situasi itu, biarpun turut
dibayangi kemerosotan prestasi bek tengah, Mohd. Aidil Zafuan Abd.
Radzak dalam Liga M.
"Kami ada lebih 20 pemain di kem negara sekarang dan ia mencukupi.
"Kami menganggap semua perlawanan penting, termasuk aksi persahabatan
dengan pasukan besar seperti Arab Saudi ini. Ia satu penghormatan buat
kita," katanya.
Beliau mengakui kesilapan dan kelekaan skuad negara ketika kalah 2-0
kepada Qatar 2-0 bulan lalu, mampu berulang biarpun anak-anak buahnya
kerap diingatkan supaya berwaspada dengan serangan balas pantas lawan.
"Saya mengkaji video Arab Saudi-China (Kumpulan C di Dammam, 6
Februari lalu) dan kesilapan pemain mereka telah menyebabkan lawan
menyamakan jaringan.
"Bagi saya, mana-mana pasukan pun boleh terdedah untuk melakukan kesilapan sebegitu," katanya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada 30 Ogos 2009
dengan Arab Saudi memenangi perlawanan persahabatan di Stadium Putera
Fahd, Dammam 2-1, manakala gol sagu hati Malaysia dijaringkan oleh Ahmad
Shakir Md. Ali.
Norazlan Razali dijangka mengemudi gawang Harimau Malaya malam ini,
manakala Aidil Zafuan masih diberi kepercayaan menjaga benteng.
Tiket perlawanan Malaysia-Arab Saudi yang berharga RM20 (dewasa) dan
RM5 (bawah 12 tahun) mula dijual di Stadium Shah Alam pada jam 4.30
petang ini. Penyokong Harimau Malaya diseru hadir memberikan sokongan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan