Isnin, 18 Mac 2013

Impak Guns N' Roses


AXL ROSE bakal hadir ke Malaysia bersama anggota baharu Guns N' Roses pada 24 Mac ini.


MENYEBUT nama grup Guns N' Roses, generasi yang lahir sekitar tahun 70-an dan 80-an, pasti mengenali grup yang ditubuhkan pada tahun 1985 di Los Angeles, Amerika Syarikat ini.

Jika tidak menjadi pengikut fanatik mereka pun, sekurang-kurangnya dua lagu hit mereka, Sweet Child O' Mine atau November Rain sudah cukup membuat nama Guns N' Roses gah.

Kini, berita baik buat pencinta mereka di Malaysia. Guns N' Roses akan mengadakan persembahan perdana di Malaysia pada 24 Mac ini di Helipad, Sepang, Selangor.

Mereka hadir sempena dengan edisi ke-15 tahun F1 Grand Prix Malaysia.
Biarpun grup yang pernah memenangi Anugerah Grammy dan menjual lebih 100 juta unit tersebut hanya akan hadir dengan seorang sahaja anggota asalnya iaitu Axl Rose, namun bersama anggota baharu mereka, Guns N' Roses dijangka meninggalkan impak tersendiri dalam persembahan sulung tersebut.

"Kami yakin, walaupun hanya AXL Rose sahaja yang merupakan anggota asal, namun nama Guns N' Roses itu sendiri sudah cukup kuat dan mampu menarik khalayak untuk hadir menyaksikan persembahan mereka," ujar Datuk Razlan Razali, Ketua Pengarah Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang.

Guns N' Roses kini dianggotai Ron 'Bumblefoot' Thal, DJ Ashba, Richard Fortus, Tommy Stinson, Frank Ferrer, Dizzy Reed dan Chris Pitman. Grup dengan barisan anggota baharu ini sedang dalam proses pembikinan album baharu di Los Angeles.

Kumpulan tempatan iaitu Estranged dan Twilight Action Girl akan menjadi pembuka acara bagi konsert Guns N' Roses yang julung-julung kali diadakan itu,

Sebelum ini, pada tahun 2009, grup British Jamiroquai pernah hadir dalam acara dan lokasi yang sama dan mendapat sambutan lebih 20,000 penonton.

Lebih istimewa, sempena F1 yang akan berlangsung pada 22 Mac hingga 24 Mac ini, pihak penganjur, SIC (Sepang International Circuit) menawarkan pakej 'One Ticket Unlimited (1TU)' yang pasti memberikan keistimewaan untuk khalayak menikmati keseronokan serta kehangatan acara sukan permotoran bertaraf dunia ini.

Tiket Konsert F1 Petronas Malaysia Grand Prix 2013 juga boleh dibeli menerusi online dengan melayari www.sepangcircuit.com atau datang terus ke kaunter di KL Sentral dan di KLCC yang akan beroperasi dari sekarang sehingga 24 Mac ini. 

Istimewa untuk pemegang kad Maybank Visa dan kad Master Credit atau kad Debit, boleh dapatkan tiket-tiket dengan potongan harga 25 peratus.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan