KUANTAN - Rekod tanpa kalah skuad Tok Gajah di
stadium sendiri lebur apabila tewas kepada PKNS 3-1 pada saingan Liga
Super di Stadium Darul Makmur, semalam.
Pada minit ke-16, PKNS dihadiahkan sepakan penalti selepas penjaga
gol Pahang, Rosfaizul Azuar menjatuhkan pemain lawan, Patrick
Ronaldinho.
Namun, sepakan itu gagal disempurnakan Ronaldinho apabila bola tendangannya melepasi palang gol.
Pada minit ke-25, skuad Tok Gajah berjaya mendahului apabila hantaran
lintang Mohd. Fauzi Rozlan disambar R. Gopinathan yang merembat
menewaskan penjaga gol PKNS, Mohd. Remezey Che Ros.
Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak
permainan dan pada minit ke-55, salah faham antara penjaga gol Pahang,
Rosfaizul dan pemain pertahanan , Razman Roslan menyebabkan PKNS berjaya
menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Ronaldinho.
Pada minit ke-65, skuad Tok Gajah dikejutkan dengan gol kedua pelawat
hasil jaringan Mohd. Nizad Ayub yang pantas menyambar hantaran
Ronaldinho dan hanya melakukan tolakan mudah bagi menewaskan Rosfaizul.
PKNS bagaimanapun meneruskan aksi dengan 10 pemain selepas Es Lizuan
Zahir diperintah keluar padang oleh pengadil, Samsuddin Ibrahim pada
minit ke-83 kerana melengah-lengahkan permainan.
Biarpun tambahan masa lima minit diberi Samsuddin, Pahang gagal menggunakan kesempatan itu untuk menyamakan kedudukan.
Sebaliknya, PKNS menambah gol ketiga hasil jaringan Ronaldinho di minit ke-90.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan