Oleh ABD. AZIZ ITAR
ZAMAN memang sentiasa berubah, begitu juga dengan industri muzik yang
sering bertukar-tukar trend sambil menyaksikan kemunculan ramai
penyanyi serta pemuzik yang silih berganti. Namun, karya seni yang indah
seperti lagu-lagu yang sedap didengar akan terus dihayati oleh para
peminat yang mana nama-nama pengkaryanya juga akan terus diingati sampai
bila-bila.
Begitu juga dengan era zaman rock kapak yang popular pada tahun-tahun
1980-an sudah lama berlalu tetapi masih banyak lagu-lagu kumpulan
seperti Bloodshed, Putra, CRK, Junction, Gravity serta Utopia yang masih
popular dan kini boleh dikategorikan sebagai lagu-lagu malar segar.
Malah, ramai antara mereka yang masih aktif bermain muzik sehinggalah ke
saat ini.
Sayangnya, kebanyakan rockers terbabit sepi daripada publisiti
apatah lagi diberi peluang mengadakan persembahan dalam sebuah konsert
yang berskala besar. Menyedari hakikat itu, salah seorang rocker veteran,
Burn yang juga vokalis kumpulan Meditasi telah berusaha menjejaki serta
mengumpulkan sebanyak mungkin kumpulan rock yang pernah popular pada
era itu.
Menurut Burn atau nama sebenarnya Bakaruddin Daud, 48, dia telah
menggunakan pelbagai cara termasuklah melalui laman-laman sosial di
internet seperti Facebook bagi menjejaki semula rakan-rakan
lamanya yang terdiri daripada penyanyi serta pemuzik rock popular
1980-an. Ternyata usahanya itu berhasil apabila dia dipertemukan semula
dengan golongan tersebut.
"Walaupun zaman kami tidak ada Facebook dan kami sekarang ini
pun sudah berumur tetapi itu bukan bermakna kami tidak mengikuti
perkembangan teknologi. Sebabnya, boleh dikatakan setiap daripada kami
mempunyai akaun Facebook sendiri. Selepas lebih 20 tahun terpisah
dan membuat haluan sendiri, laman sosial seperti ini banyak membantu
kami untuk bertemu semula.
"Saya mengambil masa hampir dua tahun menjejaki kawan-kawan lama saya itu melalui Facebook.
Daripada situlah kami bertukar-tukar nombor telefon dan akhirnya saya
berjaya mengumpulkan 13 kumpulan rock yang pernah popular pada tahun
1980-an. Bayangkan kalau satu kumpulan ada empat anggota, maka setakat
ini tidak kurang 50 rockers lama berjaya saya kumpulkan.
"Masih banyak lagi kumpulan rock lama yang saya belum dapat hubungi
kerana sebab-sebab tertentu. Contohnya, ada kumpulan itu yang telah
dibubarkan atau sebahagian anggota asalnya telah pun meninggal dunia.
Pemain bass Meditasi, Ahmad Sofian Idris misalnya telah meninggal dunia
pada tahun 2007 kerana sakit paru-paru berair," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Jelas Burn, setakat ini 13 kumpulan rock 80-an yang berjaya
dikumpulkannya itu ialah Bloodshed, Burnmarks, Utopia, Gravity, EYE,
Lela, Putra, Satira, Meditasi, CRK, Samudera, Sejati dan Junction.
Malah, dia yakin masih banyak kumpulan rock era itu yang terus aktif
bermain muzik dan usaha murninya itu akan diteruskan lagi pada masa-masa
yang akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan