Isnin, 25 Mac 2013

Amaran buat La Roja



PEMAIN-PEMAIN Perancis diketuai Olivier Giroud (tengah) giat menjalani latihan kelmarin menjelang perlawanan tumpuan kelayakan Piala Dunia menentang Sepanyol awal pagi Rabu ini.


PARIS - Atas kertas, Sepanyol memiliki reputasi selaku juara bertahan Piala Dunia dan juga pasukan terbaik di Eropah selepas menjulang trofi Euro 2012.

Namun, prestasi semasa La Roja dilihat meragukan menjelang pertemuan menentang Perancis dalam aksi Kumpulan I, kempen kelayakan Piala Dunia di Stadium Stade de France, Paris awal pagi Rabu ini.
Sekadar seri 1-1 kelmarin dengan pasukan tercorot, Finland juga seolah-olah amaran awal buat Sepanyol selepas Perancis selesa mencatat kemenangan 3-1 mengatasi Georgia dalam satu lagi aksi kumpulan kelmarin.

Ketinggalan dua mata di belakang Perancis yang selesa menerajui kumpulan dengan 10 mata, kekalahan pastinya menyukarkan skuad kendalian Vicente del Bosque menyambar slot automatik ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan.

"Kami sudah tahu bagaimana untuk berdepan Sepanyol dan kini terpulang kepada kami sama ada mahu melakukan perkara yang sama atau tidak," kata pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 1-1 di Madrid, Oktober tahun lalu.
Awal pagi Rabu ini, Sepanyol bakal kehilangan David Silva yang menjalani hukuman penggantungan manakala Jordi Alba juga masih dibelenggu kecederaan.

Namun, del Bosque masih enggan menekan 'butang panik' menjelang pertemuan menentang Perancis.
"Ada empat perlawanan lagi perlu diharungi dan situasi masih memihak kepada kami.

"Kami tidak seharusnya bersikap pesimistik. Kami akan pergi ke Paris dan berusaha untuk membawa pulang tiga mata berharga.

"Ini satu perlawanan yang cukup menarik memandangkan Perancis pastinya tidak sekadar tampil dengan corak permainan bertahan di depan penyokong sendiri," kata del Bosque. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan