RIO DE JANEIRO - Franz Beckenbauer kelmarin mengakui Bayern Munich berminat mendapatkan pemain Manchester United Wayne Rooney.
Spekulasi tentang Rooney timbul selepas bos United, Alex Ferguson
tidak menyenaraikan bintang England itu dalam kesebelasan utama
menentang Real Madrid pada Liga Juara-Juara.
Fergie kemudian bingkas menafikan laporan media bahawa tindakannya
itu adalah bayangan bahawa pemain itu akan dijual, sebaliknya
memberitahu Rooney. 27, akan ditawarkan kontrak baharu apabila tiba
masanya nanti.
Namun, legenda bola sepak Jerman itu yang juga Presiden Kehormat
Bayern berkata: "Saya gembira jika Wayne Rooney menyertai Bayern."
Bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola, yang akan mengendalikan Bayern musim depan, diketahui merupakan peminat Rooney.
Dia pernah menyifatkan pemain itu 'salah seorang pemain terbaik
dunia', dan mungkin bersedia untuk menawarkan lebih 20 juta pound (lebih
RM92.7 juta) untuk membeli penyerang terbabit.
Bayern juga antara beberapa kelab di Eropah yang mampu membayar gaji
Rooney 230,000 pound (RM1 juta) jika perpindahan ini berlaku.
Bagaimanapun, Pengarah Manchester United, Bobby Charlton menegaskan:
''Alex Ferguson memberitahu dia tidak berniat untuk melepaskan Wayne
Rooney. Dia pemain hebat. Kenapa kita perlu mengeluarkan dia?'' - Agensi
Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan