KUALA LUMPUR - Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang
(gambar) mencetus kontroversi apabila secara terbuka menyelar pengurus
pasukan kerana hilang ketika pelumba negara sedang bertungkus lumus
beraksi pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi,
kelmarin.
Malah, pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocketrocket Man itu
mendakwa, Ibrahim Mustapha pergi ke Taj Mahal ketika saingan berlangsung
hingga menyebabkan lagu Negaraku tidak dapat diperdengarkan apabila
pelumba muda, Muhammad Firdaus Mohd Zonis naik ke pentas untuk menerima
emas sulung Malaysia.
Kecewa dengan pengurus pasukan di ACC India... Kami semua dalam pasukan berlumba di velodrom sementara dia ke Taj Mahal.
Tiada lagu kebangsaan untuk pingat emas pertama Malaysia kerana
(rakaman) audio ada dengan pengurus pasukan kita. Tak munasabah!," kata
Azizulhasni dalam sosial Twitter dan Facebook.
Pada ACC kelmarin, Malaysia merangkul dua emas menerusi Firdaus dalam
acara satu kilometer ujian masa remaja, manakala Irwandie Lakasek
menyumbang emas 10 kilometer Scratch remaja.
Dua pingat perak turut diraih menerusi pecut berpasukan elit lelaki
dan pecut berpasukan remaja lelaki, manakala gangsa melalui pecut
berpasukan elit wanita.
Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri
Zolkples Embong menyifatkan andai apa yang didakwa Azizulhasni adalah
benar, maka insiden itu sesuatu yang sangat memalukan Malaysia.
Kami akan bincang dengan pihak PKBM (Persekutuan Kebangsaan
Berbasikal Malaysia) berhubung masalah ini kerana sepatutnya pegawai
yang menggalas tugas itu perlu tahu tanggungjawabnya.
Bagaimanapun saya tidak pasti adakah dia tidak mempunyai harapan untuk atlet kita memenangi pertandingan itu.
Saya juga telah menghubungi pegawai kami di sana untuk pastikan kita
ada salinan lagu Negaraku agar perkara yang sama tidak berulang,"
katanya ketika ditemui pada mesyuarat Program Pembangunan Bola Sepak
Negara, di sini, semalam.
Menurut Zolkples, perkara ini amat mengecewakan kerana MSN sentiasa
mengingatkan atlet supaya berjuang dengan semangat tinggi dalam
mana-mana kejohanan agar Jalur Gemilang dapat dikibarkan dan lagu
kebangsaan dinyanyikan.
Ibrahim ketika menjelaskan apa berlaku berkata, rakaman lagu Negaraku
sudah diserah kepada penganjur beberapa hari sebelum kejohanan bermula
dan ia berjalan lancar ketika penyampaian pingat emas kepada dua atlet
paralimpik negara yang turut berlangsung di tempat yang sama.
Mungkin berlaku masalah komunikasi dengan pihak sekretariat. Saya
tidak berada di velodrom kerana menguruskan beberapa perkara melibatkan
atlet paralimpik negara namun lagu kebangsaan tetap dimainkan cuma lewat
beberapa minit dengan pegawai kita bertindak memuat turun lagu di
internet. Bukan tidak dimainkan langsung," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizulhasni dan Josiah Ng melepasi
pusingan awal acara pecut individu dengan menjadi antara 16 pelumba
terbaik, namun menurut Ibrahim, Azizulhasni didenda Swiss Franc 200
(RM656) kerana menggunakan seluar melepasi bahagian lutut sekali gus
menyebabkan beliau sebagai pengurus turut didenda 250 Swiss Franc
(RM820).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan