MALAGA - Pemain tengah Malaga, Duda yakin pasukannya mampu memadamkan
kelebihan defisit satu jaringan FC Porto dalam misi untuk melangkah ke
peringkat suku akhir Liga Juara- Juara.
Pemain kelahiran Portugal itu menegaskan, Malaga kini sudah bersiap
sedia dan menyifatkan aksi kedua pusingan kedua kalah mati di Stadium La
Rosaleda awal pagi esok merupakan perlawanan bersejarah buat kelab
Sepanyol berkenaan untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan Eropah
penuh prestij tersebut.
"Jurulatih, Manuel Pellegrini memiliki kesemua pemain terbaiknya dan
kami akan memberikan segala-galanya untuk memastikan kami layak ke suku
akhir.
"Kami tahu apa yang Malaga perlu lakukan dan kami memiliki kelebihan
beraksi di laman sendiri yang mana penyokong-penyokong akan bersama
pasukan ini," ujar bekas pemain kelahiran Portugal itu.
Meskipun tidak pernah beraksi bersama kelab Portugal itu selepas
berada di Sepanyol selama 12 musim, Duda menegaskan, dia cukup mengenali
corak permainan pasukan negara kelahirannya itu.
"Ia merupakan satu perlawanan sukar. Mereka memiliki pemain hebat dan
skuad yang terbaik walaupun Porto tidak memiliki beberapa pemain
bintang," katanya.
Malaga kini berharap dapat mengekalkan rekod tanpa kalah di pentas
Eropah ketika beraksi di laman sendiri pada musim ini untuk menempah
tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara. - AFP
-Kosmo-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan