KUALA LUMPUR - Tanpa kelibat Lin Dan, Datuk Lee Chong Wei masih
gagal membawa pulang kejuaraan All England buat kali ketiga apabila akur
dengan kehebatan bintang muda China, Chen Long dalam perlawanan akhir
di Birmingham semalam.
Sekalipun tidak menurunkan juara Olimpik dan dunia, Chen Long tetap
mampu memenuhi impian China apabila merangkul kejuaraan sulung dengan
membenam Chong Wei 21-17, 21-18 dalam pertarungan yang berlangsung
selama 62 minit.
Kegagalan semalam bermakna impian Chong Wei untuk pulang bersama
gelaran ketiga selepas muncul juara 2010 dan 2011 bukan sahaja tidak
kesampaian, malah dikecewakan dalam saingan akhir buat kali kedua
berturut-turut. Tahun lalu, dia terpaksa menarik diri ketika menentang
Lin Dan akibat kecederaan.
Chen Long, 24, membuktikan standard permainannya semakin hampir
menyamai Lin Dan, malah mengesahkan dia kini pesaing utama untuk
mencabar gelaran dunia, Ogos nanti.
Kemenangan terbaru ini membolehkan dia merapati rekod pertemuan dengan Chong Wei kepada 6-13.
Segalanya tidak menjadi buat Chong Wei sejak awal permainan apabila
ketinggalan 0-7 di set pertama akibat melakukan banyak kesilapan
sendiri.
Biarpun berjaya merapatkan jurang 13-15, pemain No. 1 Dunia itu tidak
mampu mengatasi Chen Long apabila membenarkan lawan meraih dua mata
penting pada kedudukan 17-19 untuk tewas 17-21.
Skrip sama berulang di set kedua dengan permainan di depan jaring Chen Long kerap memerangkap pemain negara itu.
Chong Wei cuba memberi tentangan apabila bangkit daripada
ketinggalan 6-12 untuk mendahului buat kali pertama pada kedudukan
15-14.
Namun ketenangan Chen Long pada kedudukan 18-18 memastikan pemain No. 2 dunia itu pulang bersama kejuaraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan